BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan memeriksa setiap peniaga dan pekerja khususnya di Pasar Awam Bukit Mertajam dan Taman Sri Rambai di sini dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan mereka telah divaksin.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, jika belum menerima vaksin, mereka perlu sekurang-kurangnya menerima tarikh divaksin atau mendaftar bagi membolehkan kembali menjalankan perniagaan.
“Kerajaan negeri dan MBSP sudah bagi peluang kepada mereka dengan menyediakan program vaksinasi secara percuma dan sebagainya tapi ada yang masih berdegil.
“Jadi, kami akan pergi kepada setiap peniaga atau pekerja dan jika didapati mereka tidak mempunyai tiga perkara seperti yang saya sebutkan itu, maka perniagaan mereka akan ditutup serta-merta,” katanya selepas memantau Program Penang Saring Covid-19 (PSC19) di Dewan Orang Ramai Taman Camellia, Bandar Perda di sini. – UTUSAN ONLINE