Penyatuan UMNO-Pas tidak akan berjaya - Mohd Puad - Utusan Malaysia

Penyatuan UMNO-Pas tidak akan berjaya – Mohd Puad

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyatuan politik antara UMNO dan Pas tidak akan membawa kejayaan, malah berisiko mencetuskan masalah yang lebih besar dalam jangka panjang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beliau akan menjadi individu pertama dalam kalangan ahli MKT yang membantah sekiranya cadangan penyatuan UMNO-Pas dibincangkan dalam mesyuarat MKT akan datang.

“Penyatuan atas nama politik bukanlah idea yang baik kerana ia bersifat sementara dan berpotensi berakhir dengan kekecewaan.

“Saya percaya penyatuan atas nama politik tidak akan berjaya, bersifat sementara dan akhirnya berakhir dengan sakit hati,” katanya dalam menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dakwa Mohd. Puad, Pas hanya akan menggunakan UMNO sebagai alat untuk mendapatkan kuasa semata-mata, malah parti itu mempunyai kecenderungan penyalahgunaan agama dalam politik.

Beliau turut mendakwa Pas mempunyai sejarah menjalin dan memutuskan kerjasama politik dengan cepat, sekali gus menjejaskan kelangsungan gabungan yang dibentuk.

Katanya, Pas pernah menyertai beberapa gabungan politik termasuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan Perikatan Nasional (PN), namun semua akhirnya berkubur.

“Kalau Pas boleh salah gunakan agama, apatah lagi dengan UMNO. Atas kertas memang nampak cantik, tetapi Pas ada penyakit politik yang sukar disembuhkan.

“PN hanya menunggu masa sahaja. Masalahnya, apabila bercerai, gabungan politik itu akan tutup kedai selama-lamanya,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Puad berpandangan kerjasama politik yang lebih longgar dan menyeluruh wajar dipertimbangkan berbanding penyatuan formal serta tidak terhad semata-mata untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kalau kedua-dua pihak ikhlas, kerjasama itu akan menjadi kuat dengan sendirinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN