GEORGE TOWN: Kerajaan negeri bersedia mengikut keputusan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai larangan penjualan dan penggunaan vape di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pihaknya mengambil maklum pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bahawa satu memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan bagi tujuan melarang penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape secara menyeluruh.
Menurut Daniel, pendirian kerajaan negeri sejak awal adalah selari dengan dasar dan hala tuju KKM dalam melindungi kesihatan awam khususnya melibatkan penggunaan vape yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda.
“Di peringkat kerajaan negeri, kita bersama-sama dengan KKM. Sekiranya Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan larangan penjualan dan penggunaan rokok elektronik, maka, Pulau Pinang akan turut berbuat demikian,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, KKM menyasarkan untuk melaksanakan pengharaman vape bermula dengan jenis sistem terbuka pada tahun ini.
Mengulas maklum balas pemain industri vape pula, Daniel berkata, pelbagai sesi libat urus dan perbincangan telah diadakan di peringkat negeri serta kementerian bagi memberi ruang kepada pihak industri sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
“Kita sedar industri ini mempunyai kepentingan ekonomi dan pandangan mereka (pemain industri) telah pun didengar melalui sesi libat urus yang dijalankan.
“Dalam hal ini, keutamaan diberi kepada kesihatan rakyat dan ia tidak boleh dikompromi sama sekali,” katanya memaklumkan, penggunaan rokok elektronik dan konvensional, kedua-duanya membawa risiko kesihatan yang serius dan memberi kesan jangka panjang terhadap masyarakat serta sistem kesihatan negara.
Daniel berkata, Pulau Pinang mencatatkan prevalens merokok dewasa sekitar 15.2 peratus manakala penggunaan vape sekitar tiga peratus bersamaan kira-kira 38,000 pengguna rokok elektronik berdasarkan dapatan National Health and Morbidity Survey.
Katanya, kerajaan negeri akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap penjualan haram vape serta tindakan ke atas individu yang merokok di kawasan larangan termasuk di Tapak Warisan Dunia George Town selaras dengan Akta 852. – UTUSAN










