Suspek kes letupan Nilai sesak nafas ketika pertuduhan dibacakan di hospital - Utusan Malaysia

Suspek kes letupan Nilai sesak nafas ketika pertuduhan dibacakan di hospital

SURITA Budin tiba di HTJ, Seremban, Negeri Sembilan bagi pertuduhan terhadap Yeoh Hock Sun membabitkan insiden letupan di Pangsapuri Desa Palma. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Suspek kes letupan di Pangsapuri Desa Palma, Nilai di sini pada 22 Disember lalu didakwa dengan lima pertuduhan hari ini.

Tertuduh, Yeoh Hock Sun, 63, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan mula dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Surita Budin di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada pukul 9.50 pagi tadi.

Bagaimanapun, prosiding tertangguh selama 20 minit berikutan tertuduh mendakwa sesak nafas dan rawatan segera diberikan oleh pakar perubatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin dan Inggeris, tertuduh didakwa atas lima pertuduhan termasuk tiga pertuduhan di bawah Seksyen 3 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki bahan letupan di sebuah unit kediaman di Pangsapuri Desa Palma pada 22 Disember 2025, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Pertuduhan kedua pula melibatkan pemilikan bahan letupan dalam sebuah kereta Proton Wira yang diparkir di kawasan Star Valley, Nilai pada hari sama sekitar pukul 7.30 malam.

Pertuduhan ketiga di bawah seksyen sama membabitkan pemilikan bahan letupan di tepi jalan utama Kampung Batang Benar, Mantin pada 27 Disember 2025, sekitar pukul 4.15 petang.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 4 akta sama kerana secara salah dan dengan niat jahat menggunakan bahan letupan jenis bahan letupan buatan sendiri (IED) di kawasan parkir Blok A, Apartment Desa Palma pada 22 Disember 205, sekitar pukul 5.55 pagi.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan sebatan.

Tertuduh juga didakwa atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan bahan letupan sehingga menyebabkan kerosakan ke atas sebuah kenderaan pikap milik seorang individu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Hakim menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh lantikan peguam dan serahan dokumen manakala tiada jaminan ditawarkan oleh pendakwaan.

Sebelum ini, tertuduh direman selama tujuh hari bermula 28 Disember lalu di bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, tertuduh yang diklasifikasikan sebagai penjenayah berbahaya dan terlibat dalam kejadian letupan di Nilai ditahan di Batang Benar.

Tertuduh mengalami kecederaan melecur di bahagian muka, badan, tangan dan kaki dipercayai akibat kejadian letupan berkenaan serta menemukan puluhan alat IED di sebuah rumah kedai berhampiran lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×