Tiga lagi ahli Parlimen diambil keterangan - Utusan Malaysia

Tiga lagi ahli Parlimen diambil keterangan

JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesahkan tiga lagi ahli Parlimen pembangkang hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka pada Isnin lalu.

Mereka yang hadir ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Jumlah ini menjadikan sebanyak sembilan ahli Parlimen telah diambil keterangan sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mereka hadir ke IPD Dang Wangi secara berperingkat bermula 10 pagi tadi.

“Saya percaya lebih ramai ahli Parlimen akan hadir untuk membantu siasatan perhimpunan itu dalam masa terdekat.

“Kita mahu rekod percakapan perlu lihat kesesuaian dan kelapangan masa ahli Parlimen terbabit,” katanya di sini hari ini.

Semalam, enam ahli Parlimen pembangkang hadir ke IPD Dang Wangi memberi keterangan membabitkan isu sama.

Individu terbabit adalah Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik; Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua; Ahli Parlimen Lembah Pantai; Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Sementara itu, Johari ketika ditemui media di luar IPD Dang Wangi berkata, proses rakaman keterangan berjalan dengan baik dan profesional.

“Polis ada membacakan hak kami (Johari dan Kasthuri) untuk menjawab atau tidak soalan sepanjang proses rakam percakapan.

“Maka, kami memilih untuk menjawab soalan di mahkamah dan perkara itu memang tidak salah mengikut undang-undang,” jelasnya.

Polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka susulan 206 laporan polis diterima di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan dibuat mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U.(A) 293.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN