TASEK GELUGOR : Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang tular di media sosial kerana melarikan diri selepas menyerang dua individu sehingga menyebabkan salah seorang daripada mangsa mengalami cedera parah di Telok Ayer Tawar di sini, kelmarin.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden C. Tharmalingam.
Menurut beliau, suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan petang tadi selepas operasi mengesan lelaki berkenaan dilakukan sebaik sahaja pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut.
“Buat masa ini, polis masih menyiasat kes ini secara terperinci,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, suspek dikatakan bertindak menyerang dan menetak kedua-dua mangsa dengan menggunakan senjata tajam dipercayai parang.
Kejadian itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang kebetulan berada di lokasi sebelum tular di media sosial.-UTUSAN










