Tiga cabaran utama menanti Ismail Sabri - Md. Jais

Tiga cabaran utama menanti Ismail Sabri

MD. JAIS SARDAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Membawa keluar kerajaan daripada istilah konotasi ‘kerajaan gagal’ adalah cabaran utama digalas Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengangkat sumpah hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday berkata, seterusnya Ahli Parlimen Bera itu juga perlu menangani masalah wabak Covid-19 yang mengganas dalam negara. 

Katanya, rakyat sangat mengharapkan kerajaan benar-benar telus dalam menyelesaikan kemelut utama dalam politik, ekonomi dan kebajikan termasuk kesihatan rakyat. 

“Cabaran pertama Perdana Menteri ialah untuk membawa keluar kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari konotasi ‘kerajaan gagal’.

“Beliau perlu mengelak menggunakan perkataan kerajaan Perikatan Nasional (PN), apatah lagi PN adalah salah satu parti dalam gabungan yang membentuk kerajaan.

“Rakyat bukan merasa takut kerana jumlah jangkitan harian yang tinggi, tetapi (lebih risau) soal hilang pekerjaan serta pendapatan isi rumah untuk menyara keluarga dan membayar pelbagai hutang, di samping keciciran anak-anak dalam mengikuti pembelajaran di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Md. Jais berkata, sektor ekonomi perlu dibuka segera mengikut prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang ketat supaya rakyat boleh kembali bekerja dan mencari pendapatan.

“Kerajaan perlu melaksanakan kempen kesedaran yang agresif tentang wabak Covid-19 dan penguatkuasaan yang tidak melampau supaya rakyat bersedia untuk mengamalkan norma kehidupan yang baharu bersamanya,” katanya.

Beliau berkata, boleh dikatakan lebih 50 peratus murid tercicir daripada sistem pendidikan yang berasaskan kehadiran dalam kelas atas talian.

“Keadaan ini disebabkan oleh ketiadaan wifi dan ‘mobile data’ khususnya di kawasan pedalaman, ketiadaan alat peranti untuk keluarga B40 ke bawah dan juga disiplin murid itu sendiri, disamping ada yang terpaksa melakukan pekerjaan untuk membantu keluarga,” katanya.

Katanya, Ismail Sabri juga berdepan cabaran bagaimana untuk mengekalkan kestabilan kerajaan gabungan kali ini dan tidak boleh mengulangi kesilapan pentadbiran terdahulu khususnya yang berkaitan dengan sebarang pelantikan jawatan dan pembentukan dasar baharu.

“Sebaiknya membentuk suatu jawatankuasa khas bersama yang dianggotai oleh wakil-wakil tiga parti gabungan (BN, PN dan GPS) untuk memandu perjalanan kerajaan sehingga pilihan raya umum akan datang. 

“Kaedah ini juga akan mengembalikan integriti ahli-ahli Parlimen terhadap parti masing-masing bersesuaian dengan persetujuan parti bergabung untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Tambah Md. Jais, jemaah menteri yang bakal dilantik pula bukan semata-mata untuk memenuhi kuota parti, namun mestilah mereka yang berintegriti dan mempunyai kredibiliti tersendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN