Tidak semestinya perlu kerjasama dengan UMNO - Utusan Malaysia

Tidak semestinya perlu kerjasama dengan UMNO

EDDIN Syazlee Shith (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan makanan kepada salah seorang penerima dalam Program Prihatin Masjid Parlimen Kuala Pilah di Masjid Senaling, Kuala Pilah. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Penubuhan Perikatan Nasional (PN) sejak daripada awal tidak bermaksud ia perlu dan mesti melibatkan kerjasama dengan UMNO.

Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith menegaskan, PN mempunyai matlamat dan cara perjuangannya yang sendiri dan mungkin tidak sama dengan UMNO.

“Tidak kira siapa, mana-mana parti yang berminat untuk bekerjasama silakan, ini negara bebas, tidak perlu terikat dengan sesiapa.

“Apa yang penting dalam politik, tiada yang lebih dominan daripada yang lain, semua sama, barulah kita boleh memastikan sistem ekonomi dan sebagainya dapat dinikmati secara saksama,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata demikian selepas menyerahkan bakul makanan menerusi Program Prihatin Masjid Parlimen Kuala Pilah di Masjid Senaling dekat sini hari ini.

UMNO baru-baru ini melalui Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat pendirian menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Eddin Syazlee yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan dalam pada itu berkata, di negeri ini, Bersatu akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan dua lagi parti komponen PN iaitu Pas dan Gerakan.

“Setakat ini kita buat apa yang perlu, kita ada Pas dan Gerakan. Kedua-dua parti ini di negeri ini saya lihat agak serius, kita sama-sama menolong.

“Bagaimanapun, itu tidak bermakna kami tidak menerima sahabat dari UMNO, di Kuala Pilah ini kami tetap bersahabat, terpulang kepada pucuk pimpinan, kami hanya menunggu arahan,” katanya.

Sementara itu katanya, keadaan negara ketika ini tidak membenarkan sebarang pertukaran kerajaan seperti yang didesak banyak pihak.

“Saya bimbang jika bertukar, keadaan akan lebih teruk daripada apa yang berlaku ketika ini, ini merupakan pengalaman yang pertama kali seumpamanya, ia juga tidak pernah dilalui oleh mana-mana Perdana Menteri.

“Semua terkesan dengan apa yang berlaku sekarang, jadi kita kena bersama kerana negara memerlukan keadaan politik yang lebih stabil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN