Tiada majoriti: Kerajaan perpaduan langkah terbaik - Utusan Malaysia

Tiada majoriti: Kerajaan perpaduan langkah terbaik

WONG FORT PIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Konsep kerajaan campuran atau kerajaan perpaduan melibatkan semua parti adalah cara terbaik untuk menyelesaikan kemelut Perdana Menteri baharu, memandangkan tiada ahli Parlimen yang memiliki majoriti setakat ini.

Ahli Jawatankuasa DAP Melaka, Datuk Dr. Wong Fort Pin berkata, situasi meruncing pandemik Covid-19 memerlukan semua pihak yang berkepakaran dalam membangunkan semula ekonomi dan memerangi wabak untuk memulihkan negara.

Katanya, pembangunan semula sebuah negara tidak hanya boleh bergantung kepada satu pihak, kerana mustahil sebuah gabungan politik mampu berbuat demikian tanpa pertolongan kelompok lain.

“Pada hakikatnya, tidak ada parti politik yang menguasai majoriti, jadi kerajaan perpaduan yang terdiri daripada semua parti akan memastikan kestabilan pemerintahan baharu.

“Negara kita memerlukan semua orang yang pakar dalam membangun semula ekonomi dan memerangi wabak untuk bekerjasama memulihkan negara.

“Saya percaya pembangunan semula sebuah negara bergantung kepada semua orang. Tidak ada pemerintah yang dapat mengetahui segalanya. Ia mesti dibuka kepada semua orang untuk menyumbang dan memberi pertolongan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu memberikan surat akuan (SD) masing-masing, selewat-lewatnya pada pukul 4 petang esok kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd. Alim.

Hari ini, ketua-ketua parti tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan pelantikan Perdana Menteri baharu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir antara pemimpin terawal kelihatan di pintu 2 Istana Negara kira-kira pukul 1.50 petang.

Sesi menghadap Seri Paduka itu kemudiannya disusuli Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Turut hadir dalam sesi tersebut Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN