Tiada keperluan laksana darurat sekali lagi - Utusan Malaysia

Tiada keperluan laksana darurat sekali lagi

WILFRED MADIUS TANGAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tidak melihat ada keperluan melaksanakan darurat sekali lagi kerana ia tidak berkesan menurunkan jangkitan Covid-19.

Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, beliau tidak sependapat dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mencadangkan darurat perlu dilaksanakan bagi menangani penularan wabak Covid-19.

“Pelaksanaan darurat dilihat gagal menurunkan kes Covid-19 jadi, saya tidak setuju ia dilaksanakan sekali lagi. Pelaksanaan darurat akan turut menyebabkan pelabur lari seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan baharu membentuk Majlis Persekutuan-Negeri untuk memulihkan ekonomi dan kesihatan rakyat.

Majlis yang perlu dianggotai oleh pemimpin kerajaan dan pembangkang yang akan berperanan membantu kerajaan untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik untuk memulihkan semula ekonomi negara.

Beliau berkata, usul menubuhkan majlis tersebut sudah dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 19 Ogos lalu agar ia boleh dibahaskan semasa sidang Parlimen pada Sepember ini.

“Usul ini dikemukakan berikutan banyak rakyat yang kehilangan insan tersayang akibat Covid-19, kehilangan sumber pendapatan serta kesukaran meneruskan pembelajaran dalam sistem persekolahan yang sedia ada.

“Langkah ini juga sebagai usaha menyelesaikan pelbagai masalah dan kecelaruan dalam pembuatan serta pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemimpin di peringkat kampung,” katanya..

Beliau turut mencadangkan agar majlis itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan ketua pembangkang Parlimen perlu dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Anggotanya pula terdiri daripada sebahagian jemaah menteri berkaitan seperti Menteri Pertahanan dan Menteri Kesihatan serta ahli-ahli Parlimen pembangkang dan Ketua Menteri mahupun Menteri Besar.

“Majlis ini harus menerima input profesional dan kepakaran daripada sektor ekonomi, perubatan dan pendidikan bersama-sama pucuk pimpinan perkhidmatan awam, tentera dan polis.

“Malah, majlis ini juga perlu bermesyuarat setiap minggu (Selasa) sebelum mesyuarat Kabinet untuk menerima laporan dan mengambil tindakan atas perkara-perkara seperti pengangguran dan penutupan perniagaan, jangkitan, kemasukan hospital dan kematian akibat Covid-19, prestasi vaksinasi rakyat, pelaksanaan SOP, keadaan persekolahan dan prestasi sektor utama ekonomi,” katanya.

Ahli Parlimen Tuaran itu berharap usul tersebut akan diangkat dan dilaksanakan kerana struktur Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada tidak merangkumi suara pembangkang.

Penubuhan majlis itu akan memperlihatkan muafakat rentas parti dan rentas kerajaan yang berkesan untuk menangani pemulihan ekonomi dan kesihatan.

Jelas beliau, pemusatan kuasa dalam bidang kesihatan dan kesihatan awam menyukarkan kerajaan-kerajaan negeri untuk memberi sumbangan lebih besar bagi memerangi pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN