KUANTAN: Hasrat seorang pelayan restoran memiliki telefon pintar Iphone 12 Pro Max musnah gara-gara terpedaya dengan helah Macau Scam hingga menyebabkannya kerugian RM6,300, semalam.
Modus operandi suspek memperdaya mangsanya dengan menawarkan barang yang tidak wujud melalui laman sosial Instagram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang berusia 20 tahun bekerja di Genting Highlands terpedaya dengan iklan penjualan gajet yang dipamerkan di laman sosial tersebut.
“Pada 15 Ogos lalu, mangsa melayari laman Instagram untuk membeli satu unit telefon bimbit jenama Iphone 12 Pro Max.
“Selepas berbincang, mangsa bersetuju membeli Iphone itu dan membuat pembayaran awalan RM2,800 ke akaun Bank Islam diberikan suspek.
“Kemudiannya, mangsa melunaskan pembayaran kedua RM 3,500 lagi dengan membuat pemindahan wang ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN),” katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, Mohd. Wazir berkata, suspek masih lagi meminta mangsa membuat penambahan bayaran bagi mendapatkan telefon bimbit yang dijanjikan.
“Mangsa kehabisan wang dan dalam masa sama mengesyaki dirinya ditipu sindiket Macau Scam.
“Mangsa segera membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.