SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan khas kepada petugas barisan hadapan yang sedang berjuang merawat dan menguruskan pandemik Covid-19 ketika ini.
Menerusi kenyataan di laman Facebook (FB) Selangor Royal Office, baginda berterima kasih dan terharu dengan pengorbanan petugas berkenaan.
“Penghargaan itu khususnya kepada kakitangan hospital dan pihak yang terlibat secara langsung seperti pengurusan jenazah serta pengebumian.
“Beta mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan dan sentiasa diberi kekuatan untuk berkhidmat demi kesejahteraan rakyat jelata,” titah baginda bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 esok.
Turut berkenan menzahirkan ucapan kepada seluruh rakyat Malaysia, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Sultan Sharafuddin bertitah, rakyat perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan segera mengambil suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.
“Dengan menjiwai semangat merdeka dan patriotisme, beta mahu rakyat tidak bersifat mementingkan diri dengan menolak pemberian vaksin.
“Ia boleh menjejaskan sasaran negara untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat dan seterusnya mengembalikan kehidupan rakyat seperti sediakala,” titah baginda.
Baginda bertitah, rakyat turut perlu menghayati erti kemerdekaan sebenar dan menghargai perjuangan tokoh terdahulu ke arah mencapai kemerdekaan negara pada 1957.










