KUALA LUMPUR: Tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 adalah permulaan yang baik untuk meredakan ketegangan antara parti politik.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu mampu memberikan gambaran positif pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
“Jemputan kepada pembangkang untuk bergabung dalam MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 adalah baik untuk persidangan pada bulan September.
“Saya berdoa semua pihak akan berdiri dan menjalankan perbincangan kerana ingin keluar dari krisis politik demi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kerjasama melibatkan semua pihak adalah perlu dengan melupakan perbezaan antara parti politik demi kesejahteraan rakyat dalam memerangi Covid-19.
“Sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus, saya menegaskan kebersamaan dengan kerajaan yang mengutamakan kebajikan dan muafakat rakyat ini.
“Semua pihak juga diseru bersatu kembali melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Justeru, saranan kerjasama rentas parti yang turut ditawarkan oleh beliau kepada parti pembangkang melalui MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19, sangat wajar disahut oleh pembangkang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










