Tanya dulu, apa yang dikirim - Utusan Malaysia

Tanya dulu, apa yang dikirim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENUNG kejap kawan saya, Din apabila tiba-tiba dia dipanggil oleh polis. Din ini pemandu Grab yang menjalankan semua perkhidmatan termasuk Grab Express.

Rupanya Din diminta hadir ke balai polis bagi membantu siasatan ke atas kehilangan barangan menerusi Grab Express.

Bulan lepas, dia menerima satu job Grab Express dari satu lokasi. Seperti biasa mengikut prosedur Grab, foto diambil sebelum dan selepas dihantar ke penerima.

“Ingat sudah selesai macam biasa. Rupanya dua minggu lepas penerima buat laporan polis mengatakan barang dalam kotak tak cukup dan hilang.

“Sebagai penghantar kena panggillah oleh polis untuk beri keterangan. Berderau juga darah aku dalam hal-hal begini, padahal kita bukan tahu apa yang kita hantar sebab semuanya berbungkus,” kata Din bernada tak gembira.

Mujur siasatan polis mendapati barang hilang itu tak menunjukkan ia berlaku sewaktu penghantaran dan bukan barang berbahaya. Bukti foto pun jelas barangan tiba dengan sempurna. Jadi, Din tak terlibat sama sekali.

Justeru apa yang seharusnya pemandu buat dalam hal penghantaran barangan begini?

Kata Din, polis menasihatkan agar pemandu bertanya dahulu kepada si pengirim berkenaan kandungan barangan yang mahu dihantar.

“Memanglah kalau si penghantar kirimkan barang larangan, takkan dia nak beritahu, tapi sekurang-kurangnya kita ada bertanya, itu yang penting.

“Pertanyaan kita itu jadi back up untuk kita kalau apa-apa terjadi. Kalau langsung tak bertanya, takut kita pula dituduh bersubahat. Itu pesanan polis pada aku.

“Tapi lepas ini aku memang serik nak ambil job ini. Tak pasal-pasal nak kena menjawab di balai pula padahal kita tukang hantar saja,” kata Din.

Nasihat Din, bagi mereka yang mahu terus memberikan perkhidmatan penghantaran barang, kena lebih berhati-hati.

“Kalau dapat pesanan dari lokasi yang pelik atau mencurigakan, bagi saya eloklah batalkan sahaja. Biarlah hilang duit sikit daripada tak pasal-pasal terlibat dalam hal-hal negatif.

“Penghantar barang macam ini banyak risikonya. Apa pun bertanya itu penting sebab sekurang-kurangnya kita minta penjelasan daripada pelanggan,” kata Din.

Satu lagi perkara yang perlu dititikberatkan oleh pemandu Grab, elak berhenti lama dalam perjalanan sewaktu menghantar barangan.

“Misalnya tengah nak hantar barang, sakit perut, tahan sajalah dulu. Habiskan kerja dulu. Sebab tempoh masa perjalanan pun boleh jadi bukti untuk sokong kita. Pada masa sama, boleh jadi alasan kalau kita berdepan masalah.

“Yang penting elak ambil dan hantar barang tanpa menggunakan aplikasi Grab. Ini paling bahaya, kena hati-hati selalu,” kata Din.

Mujurlah saya sendiri memang tak berminat hendak mengambil barang. Saya lebih gemar mengambil orang kerana mahu bersembang.

Cuma sekarang, hendak bersembang dengan penumpang pun takut. Kalau boleh nak sembur sanitizer ke muka penumpang setiap kali mereka mula bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN