Serangan pusat hiburan di Cheras bermotif dendam peribadi

Serangan pusat hiburan di Cheras bermotif dendam peribadi

FADIL Marsus ketika sidang media kes samun bersenjata dan menyamar sebagai penjawat awam dan perkembangan kes rusuhan serta khianat di sebuah pusat hiburan di ibukota. -UTUSAN/ M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejadian serangan yang berlaku ke atas sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, pada Ahad lalu bermotifkan dendam peribadi antara pemilik kelab dan pesaing perniagaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seramai 45 individu termasuk dua pelajar sekolah berusia antara 14 hingga 57 tahun ditahan sejak kelmarin hingga tengah malam tadi.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati serangan pada waktu tengah hari itu dilakukan oleh sebahagian individu terdiri daripada ahli kumpulan kongsi gelap yang diupah oleh pihak berkepentingan.

“Hasil siasatan awal kita mendapati pemilik premis hiburan KTV ini menggunakan khidmat kumpulan kongsi gelap bagi mengawasi aktiviti pengoperasiannya dan kesan daripada masalah dendam dan persaingan akibat perniagaan menjadi punca kepada serangan dan rusuhan yang berlaku.

“Pada masa ini siasatan lanjut masih dijalankan dan kita juga sedang mengesan sebahagian lagi individu yang turut terbabit dalam serangan ini termasuk dalang atau orang tengah yang mengarahkan rusuhan dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Fadil berkata, semua suspek warga tempatan ini ditahan di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri di luar Lembah Klang.

“Pada peringkat awal, pihak polis telah menahan lapan individu sehari selepas kejadian namun seorang daripada mereka direman selama dua hari manakala baki yang lain dibebaskan dengan jaminan polis.

“Susulan itu, pihak polis kemudian menahan 37 lagi individu lain semalam di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan dan dapat memperoleh kebenaran reman selama empat hari bermula hari ini,” jelasnya.

Ujarnya, melalui tangkapan ini juga polis turut merampas senjata yang digunakan seperti besi, kayu besbol selain kenderaan yang digunakan termasuk lori yang digunakan untuk merempuh pagar premis hiburan berkenaan.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 427/148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman mengenai kejadian ceroboh dan rusuhan yang dipercayai dilakukan oleh lebih 60 individu memakai topeng penutup muka ini berlaku sekitar pukul 1.30 tengah hari.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian turut sempat merakamkan situasi ketika serangan dibuat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN