KUALA LUMPUR: M N C Wireless Berhad (MNC) mengembangkan perniagaan ke dalam platform Pengurusan Dokumen Digital (e-SIJIL) serta Pengiklanan Mudah Alih.
Platform tersebut dijangka siap dibangunkan dalam tempoh antara 18 hingga 36 bulan selepas penyelesaian cadangan Terbitan Hak pada 14 Mei ini dengan sokongan kepakaran dalaman serta rakan strategik.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Tan Chor How Christopher berkata, langkah itu selaras dengan peningkatan permintaan terhadap transaksi digital yang selamat dan boleh disahkan, khususnya dalam sektor kerajaan, kewangan, pendidikan dan perundangan.
Menurutnya, platform e-SIJIL dibangunkan sebagai sistem pengurusan dokumen elektronik bagi memperkemas proses pengeluaran, pengesahan dan pengurusan dokumen digital.
“Ia merangkumi penciptaan, pengarkiban, semakan, perkongsian serta pengesahan dokumen dalam satu platform,” katanya semasa Sidang Media Pengumpulan Dana Strategik MNC di sini, semalam.
Beliau berkata, antara cabaran utama industri ialah pemalsuan dokumen seperti sijil akademik, geran tanah, lesen perniagaan dan pendaftaran syarikat.
“Sehubungan itu, platform ini diperkenalkan bagi membolehkan dokumen dicipta secara selamat, disahkan dengan mudah serta meningkatkan keyakinan pengguna.
“Model perniagaan platform itu berasaskan langganan bagi menjana pendapatan berulang, di samping mengurangkan kebergantungan kepada proses manual.
“Sebagai contoh, pelajar boleh berkongsi sijil secara digital, manakala majikan boleh membuat pengesahan serta-merta tanpa perlu berhubung dengan universiti,” katanya.
Dalam pada itu, platform Pengiklanan Mudah Alih dibangunkan bagi menghubungkan perkhidmatan e-hailing, pengiklan dan penumpang melalui paparan kandungan diperibadikan.
“Platform ini menggunakan tablet yang dipasang pada sandaran kepala kenderaan e-hailing serta teknologi berasaskan lokasi bagi memastikan kandungan iklan lebih relevan.
“Selain itu, dengan persetujuan pengguna, data seperti umur, jantina, lokasi dan destinasi boleh digunakan bagi meningkatkan keberkesanan penyasaran iklan,” ujarnya.
Sehubungan itu, bagi membiayai inisiatif tersebut, MNC mencadangkan Terbitan Saham Hak Boleh Lepas bersama Waran D percuma.
Cadangan itu melibatkan tiga saham hak dan satu Waran D bagi setiap satu saham sedia ada yang dipegang pada 5 petang, 15 April 2026.
Harga terbitan ditetapkan pada empat sen sesaham, manakala harga pelaksanaan Waran D juga pada empat sen.
Justeru, tarikh berkuat kuasa Isu Hak ialah pada 14 April 2026, iaitu tarikh saham mula diniagakan tanpa kelayakan untuk menyertai isu hak.
Hanya pelabur yang membeli sebelum tarikh tersebut layak, manakala pembelian pada atau selepas tarikh itu adalah tidak sah.
Tarikh kelayakan ditetapkan pada pukul 5 petang 15 April 2026, iaitu tarikh akhir nama pemegang saham perlu tersenarai dalam rekod penyimpan bagi melayakkan penyertaan. – UTUSAN










