KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan polis antara enam ditahan kerana percayai terlibat kes samun bersenjata membabitkan warga asing di Kepong 5 April lalu, mengakibatkan kerugian kira-kira RM4.4 juta.
Anggota polis terbabit yang telah ditahan tugas dan mempunyai rekod kesalahan dadah, dikatakan bertindak sebagai koordinator kumpulan berkenaan.
Sementara dua lagi suspek yang bekerja sebagai pengawal peribadi berlesen, dipercayai membekalkan senjata api untuk digunakan dalam jenayah tersebut.
Dalam kejadian tersebut, kumpulan menyasarkan tiga kediaman warga asing sekitar Kepong dengan mangsa terdiri daripada warga China dan Indonesia berusia antara 29 hingga 52 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Masus berkata, kejadian berlaku antara pukul 5.30 hingga 7.30 pagi, di mana suspek dipercayai memecah masuk rumah-rumah mangsa.
Katanya, seorang daripada suspek bertindak mengacukan objek menyerupai pistol ke arah mangsa.
“Kumpulan ini menyamar sebagai pegawai polis untuk melakukan samun bersenjata dengan menyasarkan warga asing.
“Dalam kejadian itu, suspek melarikan tiga kenderaan mewah iaitu Toyota Alphard, Rolls-Royce dan Bentley, selain sebuah peti besi, wang tunai RM24,200, mata wang asing USD1,200, pelbagai barang kemas serta dua jongkong emas,” dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Fadil berkata, bertindak atas maklumat risikan, tiga lelaki ditahan pada hari sama kira-kira pukul 8.45 malam.
“Tangkapan tersebut membawa kepada penahanan tiga lagi suspek, menjadikan keseluruhan enam individu ditahan berusia antara 31 hingga 51 tahun.
“Polis turut merampas dua pucuk pistol, lima kenderaan, wang tunai RM13,056, pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit dan dua pas keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 170 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Fadil menegaskan, polis tidak akan melindungi mana-mana individu yang melakukan kesalahan, termasuk anggota pasukan sendiri, dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran,” katanya.-UTUSAN










