Tanam dadah, empat termasuk suami isteri ditahan - Utusan Malaysia

Tanam dadah, empat termasuk suami isteri ditahan

SAIFUDIN Aslin Abbas (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan melibatkan sindiket Kumpulan Wa di Padang Besar, Perlis dalam sidang akhbar di IPD Padang Besar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine dan ganja yang menyembunyikan bahan terlarang tersebut dengan menanamnya di dalam tanah susulan penahanan empat suspek termasuk pasangan suami isteri dan dua warga Thailand.

Sindiket yang dikenali sebagai Kumpulan Wa tersebut menanam dadah yang diperoleh melalui aktiviti penyeludupan di lorong-lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand, di belakang rumah dan ditutup dengan atap zink.

Ahli sindiket yang aktif sejak Julai lalu itu dipercayai mengorek semula lubang sedalam 35 sentimeter apabila menerima permintaan daripada ‘tokan-tokan’ kecil.

Kesemua suspek dan dadah jenis methamphetamine dengan berat kira-kira 2.2 kilogram (kg) bernilai RM79,261 dan ganja dengan berat kira-kira 1.97 kg berniali RM4,930 dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Padang Besar pada 16, 17 dan 20 Ogos lalu.

Ketua Polis Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, serbuan pertama dilakukan pada 16 Ogos oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar melibatkan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun di hadapan sebuah kedai runcit, dekat sini kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan terhadap wanita tersebut menemukan satu bekas plastik mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat. 52.72 gram.

“Bertindak atas maklumat serbuan pertama, pemeriksaan di sebuah rumah dilakukan di Padang Besar pada 17 Ogos kira-kira pukul 2.45 petang dan menahan dua lagi suspek iaitu seorang lelaki warga Thailand berusia 33 tahun yang juga suami suspek serbuan pertama dan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun.

“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 2.149 kg dan ganja seberat 1.97 kg yang disimpan di dalam beg kain dan ditanam di dalam tanah berhampiran rumah suspek. Kedua-dua suspek yang ditahan juga didapati positif methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Padang Besar, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, hasil maklumat membawa kepada serbuan serbuan ketiga melibatkan penangkapan seorang lelaki warga Thailand berusia 24 tahun di sebuah rumah tidak bernombor pada pukul 9 malam, Jumaat lalu.

“Kesemua suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN