Taktik sewa ambulans swasta untuk rentas negeri pulang ke kampung gagal - Utusan Malaysia

Taktik sewa ambulans swasta untuk rentas negeri pulang ke kampung gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Taktik empat individu cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan khidmat ambulans swasta bagi merentas negeri untuk pulang ke kampung gagal apabila mereka ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kampung Tanjung Belenggu, di sini semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, suspek berusia 30 tahun bersama ibunya yang berusia 70 tahun turut membawa dua anak berusia 10 bulan dan enam tahun mahu pulang ke kampung mereka di Gemas, Negeri Sembilan.

Suspek difahamkan menyewa ambulans swasta itu yang datang mengambil mereka di Taman Bahagia di sini dengan bayaran kira-kira RM1,300.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusof berkata, empat individu iaitu dua penumpang wanita dan juga dua lelaki yang merupakan pemandu dan pembantu pemandu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kesemua mereka ditahan ketika pemeriksaan yang dilakukan oleh polis di SJR berhampiran Kampung Belenggu di sini yang mana mereka gagal mengemukakan surat kebenaran daripada polis.

“Polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan kerjasama kepada pihak polis,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Azhar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, siasatan lanjut masih dilakukan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya