Tahap pendidikan dan demokrasi - Utusan Malaysia

Tahap pendidikan dan demokrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Demokrasi men­dapat stratum tera­tas oleh keba­nya­kan negara di dunia kerana sis­tem ini secara relatifnya ba­gus berbanding sistem lain. Ia turut mampu untuk meng­atur hubungan antara masyarakat di dalam negara dan hubungan sesama negara di dunia.

Secara umumnya, demokrasi bermaksud kerajaan atau pemerintahan berasaskan kepada kuasa rakyat, iaitu sistem pemerintahan oleh rakyat untuk rakyat. Disebabkan sifat demokrasi itu sendiri yang meletakkan kuasa membuat keputusan kepada rakyat, maka prinsipnya mudah, rakyat perlu berpendidikan bagi memastikan amalan demokrasi berada pada sifir yang betul. Amalan demokrasi dan tahap ekonomi negara akan turut sama berkembang apabila rakyat memiliki akses kepada pendidikan yang baik.

Amy Gutmann (1987) di dalam bukunya Democratic Education memperkenalkan konsep Democratic Threshold, yang mana amalan demokrasi dapat dikukuhkan apabila rakyat di sesebuah negara itu memiliki tahap pendidikan yang mencukupi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Almond dan Verba (1989) pula melihat pendidikan sebagai pemangkin kepada budaya sivik dan penyertaan dalam politik yang bersifat demokratik. Demokrasi memberikan kuasa kepada rakyat untuk membuat keputusan penting buat negara. Pertamanya, kuasa untuk memilih wakil rakyat berkredibiliti untuk mentadbir negara. Rakyat yang berpendidikan dapat melahirkan pengundi yang rasional (rational voters) dan mampu menentukan calon-calon yang layak diundi.

Pemilihan yang rasio­nal diharapkan dapat mengu­rangkan (walaupun tidak ber­jaya menghapuskan) sentimen primordial kerana rakyat berpendidikan (secara relatifnya) akan berupaya ber­fikir secara kritis dan le­bih mementingkan isu-isu sejagat berbanding politik perkauman.

Keduanya, rakyat yang berpendidikan dapat mengeluarkan idea-idea bernas dan realistik ketika melibatkan diri dalam proses pembentukan dasar kerajaan. Mereka juga akan menjalankan demonstrasi jalanan dengan aspirasi yang membina dan bukannya semata-mata turun padang dengan otak kosong.

Sejarah membuktikan golongan belia yang berpelajaran telah berjaya melakukan perubahan politik yang besar di beberapa negara. Golongan ini memainkan peranan penting sehingga berlakunya pengunduran diri pemerintah Kishi di Jepun pada 1960, penentangan terhadap Diem di Vietnam pada 1963, penggulingan pemerintahan Rhee di Korea pada 1966 dan banyak lagi. Dengan pendidikan, rakyat dapat memilih pemimpin dengan bijak dan melawan naluri zalim mereka yang berkuasa.

Pendidikan merupakan mekanisme utama untuk memperkasakan rakyat, memungkinkan penyatuan organisasi, memupuk perdebatan berkualiti dan memajukan kesedaran sosio-politik untuk menentang kejahilan politik. Rakyat berpendidikan mampu menyuarakan pandangan tanpa menyentuh isu sensitif seperti agama, bangsa, dan peribadi seseorang. Tindakan seperti menghina institusi diraja, menyemai politik kebencian dan bebas melakukan fitnah jelas sekali terpesong dengan konsep kebebasan bersuara. Rakyat boleh melontarkan apa sahaja pandangan tetapi mestilah berisi dan disulami dengan cadangan dan penyelesaian.

Rakyat berpendidikan mam­pu menilai prestasi kera­jaan melalui penggubalan dan pelaksanaan da­sar-da­sar negara. Bagaima­na­pun, demokrasi yang dia­malkan akan merosot wa­laupun majoriti rak­yatnya berpendidikan. Perkara ini boleh berlaku sekiranya hak-hak rakyat dipertikaikan, kegagalan kerajaan dalam melunaskan tanggungjawabnya, dan berlakunya amalan lompat parti yang tidak terkawal. Perkara-perkara sebeginilah yang menghalang sesebuah negara mencapai amalan demokrasi yang mampan.

Amalan lompat parti bukan perkara baharu di negara kita. Bahkan, perkara sebegini turut berlaku di India, Amerika Syarikat dan lain-lain sehinggakan terdapat negara yang menggubal akta anti lompat parti bagi membendung amalan itu.

Dalam hal ini, rakyat yang berpendidikan mampu untuk menangani isu ini dengan memilih wakil rak­­yat yang benar-benar ‘memperjuangkan nasib rakyat’. Bagaimanapun, demokrasi yang disanjung-sanjung itu akan pudar sekiranya mekanisme pilihan raya tidak diurus secara adil, telus dan berintegriti.

Hal ini bertepatan dengan apa yang dibincangkan oleh Andreas Schedler dalam bukunya ‘The Politics of Uncertainty: Sustaining and Subverting Electoral Authoritarianism’. Schedler berpendapat sesebuah negara mengamalkan rejim autoritarian pilihan raya (electoral authoritarian) kerana adanya unsur autoritarianisme yang berselindung di sebalik sistem demokrasi perwakilan.

Dalam rejim itu, kerajaan menggunakan pelbagai strategi bersifat manipulatif untuk terus memenangi pilihan raya dengan cara mengintimidasi pengundi, memalsukan keputusan pilihan raya dan sebagainya.

Semua ini mungkin dapat dikurangkan jika rakyat memiliki ilmu pengetahuan dan tidak mudah dimanipulasikan. Maka, pihak sekolah dan universiti perlu menyediakan peluang bagi pelajarnya mempelajari dan mempraktikkan amalan demokrasi. Terma politik perlu diberikan fahaman jelas kerana ia bukannya terhad kepada politik kepartian. Bidang politik itu luas termasuklah mengenai tatacara membuat keputusan, sistem dan fungsi kerajaan.

Pihak sekolah dan uni­ver­siti boleh mendidik pela­jarnya tentang prosedur dan amalan demokrasi yang betul, berunding dan bukan menggunakan kekerasan un­tuk mendapatkan apa yang dimahukan, menghormati yang tidak bersetuju, menya­takan pandangan dengan meyakinkan, bersaing se­ca­­ra adil, dan menerima kemenangan serta kekalahan secara bermaruah.

PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini