Suami hilang isteri, anak akibat pandemik Covid-19

Suami hilang isteri, anak akibat Covid-19

GAMBAR kenangan Azman Hashim bersama arwah Rohana Dzabidi (tiga dari kanan) dan Allahyarham Muhammad Hanizam (dua dari kiri) dan anak-anaknya yang lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pemandu bas Rapid Penang diduga ujian berat apabila kehila­ngan anak dan isteri tersayang akibat Covid-19 dalam tempoh selang tiga hari.

Azman Hashim, 54, dari Kam­pung Teluk Nipah Pantai Merdeka di sini berkata, anak keduanya Muhammad Hanizam, 31 dan isterinya, Rohana Dzabidi, 52, masing-masing me­nerima rawatan sebagai pe­sakit Covid-19 di wad yang sama di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini kira-kira seminggu yang lalu.

Bapa kepada lima anak ini berkata, bagaimanapun Muhammad Hanizam meninggal dunia dahulu pada pukul 4.05 pagi Jumaat lalu.

Sementara itu, tambahnya, isterinya pula menghembuskan nafas terakhir di hospital itu pada pukul 3.47 pagi semalam.

“Jenazah arwah isteri saya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Tuan Husein Pantai Merdeka bersebelahan dengan kubur anaknya, arwah Muhammad Hanizam pada pukul 11.30 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Azman memberitahu, dia akan menghubungi doktor yang merawat isterinya untuk me­ngetahui status kesihatan isterinya pada pukul 6 petang.

Ini kerana, katanya, isteri­nya sukar menjawab panggilan telefon kerana keadaan kesihatan yang tidak stabil.

“Sehari sebelum arwah pergi, doktor beritahu arwah ada memaklumkan bahawa dia rasa lapang dada dan ringan badan berbanding hari-hari sebelumnya.

“Saya rasa seronok mende­ngar berita itu kerana me­nyangka arwah akan kembali sihat seperti biasa,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut­nya, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak hospital yang memaklumkan isteri semakin tenat dan mereka sedang berusaha menyelamatkannya, namun Allah lebih menyayanginya.

“Dunia saya bagaikan gelap seketika sewaktu menerima berita pemergiaan isteri saya memandangkan kami sekeluarga masih lagi dalam tempoh bersedih atas pemergian anak kedua saya itu,” ujarnya.

Azman memberitahu, dia kini tinggal serumah bersama tiga orang anaknya yang ber­usia 18 hingga 25 tahun, seorang anak saudara lelaki berusia 28 tahun dan seorang anak angkat berusia 2 tahun.

“Sebelum meninggal dunia, arwah Hanizam ada berpesan supaya kami dapat menjagakan anak angkat tersebut de­ngan baik dan kami akan menjaga amanah itu dengan sebaik mungkin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×