‘Saya tak kecewa jika tak dilantik TPM’ - Faizal Azumu

‘Saya tak kecewa jika tak dilantik TPM’ 

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak kecewa jika tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, sekali pun tidak dilantik ke jawatan itu, beliau tetap akan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terutama dalam pembentukan barisan Kabinet.

“Saya percaya semua orang boleh nampak saya tak kecewa kalau tak dilantik (Timbalan Perdana Menteri). Saya sentiasa bersemangat untuk memberikan khidmat kepada rakyat.

“Sekarang saya kembali kepada kapasiti saya sebagai ADUN Chenderiang dan Ahli Parlimen Tambun, dua tanggungjawab ini cukup besar. Saya tak kecewa.

“Saya gembira apabila kerajaan dapat ditubuhkan dan berharap ini boleh mengeluarkan rakyat daripada kesengsaraan akibat Covid-19.

“Saya tetap sokong pimpinan Perdana Menteri yang akan membentuk Kabinet, saya akan beri kerjasama penuh,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini hari ini.

Ditanya jika beliau dilantik ke jawatan menteri, bekas Menteri Besar Perak itu berkata, jika ia berlaku, ia merupakan satu penghormatan buatnya.

“Sudah tentunya jika dilantik menteri, ia datang bersama tanggungjawab besar terutama dalam krisis ekonomi dan kesihatan yang tidak pernah berlaku disebabkan Covid-19.

“Kalau dilantik menteri, saya akan beri yang terbaik. Jauh lebih penting ialah sokongan kepada perdana menteri untuk menubuhkan pasukan yang akan menyokong dasar-dasar yang akan dilaksanakan kelak,” katanya.

Mengenai pelantikan ahli Parlimen Bersatu untuk menganggotai Kabinet, Ahmad Faizal berkata,  majlis pimpinan tertinggi parti telah memutuskan untuk menyerahkan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencadangkan nama-nama calon ahli parlimen dari parti itu untuk jawatan dalam kerajaan.

“Kami serahkan kepada Presiden untuk mencadangkan nama-nama ahli Parlimen Bersatu untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri.

“Nama-nama ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan diputuskan sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Ahmad Faizal merupakan antara pimpinan Bersatu yang disebut-sebut sebagai calon Timbalan Perdana Menteri selain daripada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya