ISU panas yang dibincangkan oleh pemandu e-hailing ketika ini adalah kelewatan bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diuruskan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Sepatutnya pembayaran bantuan RM500 tersebut dirancang dibuat sebelum 15 Julai tapi ditunda ke 27 Julai lalu.
Itu pun bagi kategori pemandu teksi/kereta sewa, bas sekolah dan bas persiaran yang memenuhi syarat PEMERKASA yang didahulukan.
Untuk e-hailing? Tarikhnya akan dimaklumkan kemudian!
Menurut hebahan awam yang dihantar, pindaan tarikh itu disebabkan masalah teknikal yang tak dapat dielakkan.
Maka sudah pastilah ramai pemandu e-hailing mengeluh, marah-marah dan ‘naik hantu’ dengan situasi ini.
Yang peliknya, sesetengah pemandu pula ada yang sudah menerima bantuan berkenaan. Dah lama habis pun, kata mereka.
Di Facebook Rakan Grab sendiri, isu ini menjadi topik utama dibincangkan. Ramai marah dengan kelemahan operasi APAD yang seolah-olah tidak memahami kesusahan para pemandu.
Macam-macam andaian dan telahan dibuat. Ada yang bimbang duit pun tiada untuk diberikan.
Iyalah, bagi sesetengah orang mungkin nilai RM500 itu kecil jumlahnya. Celah gigi, kata mereka.
Namun bagi pemandu e-hailing terutama yang bekerja sepenuh masa, nilai itu sangat besar.
Tambahan pula, pada musim Covid-19 yang mengehadkan pergerakan ramai orang, pendapatan mereka terjejas dan jatuh merudum.
Nak bekerja bimbangkan Covid-19, tak bekerja pula tiada pendapatan. Bila bekerja pula, masa ‘membangau’ lebih lama daripada masa membawa penumpang.
Justeru, bantuan tersebut sudah pasti dapat meringankan beban yang sudah sedia berat ketika ini. Aduhai APAD, dalam keadaan sekarang apa lagi masalahnya?
Kalau pun ada masalah teknikal seperti yang dikata, uruskanlah secepat mungkin. Zaman ini bukan zaman 20 tahun dulu. Sekarang, semua urusan di hujung jari belaka. Klik dan hantar.
Maka, permudahkanlah urusan orang supaya urusan kita juga dipermudahkan kelak.