IPOH: Seramai 60 penghantar makanan atau rider syarikat Food Panda menerima vaksin Covid-19 melalui Program Vaksinasi Rider Food Panda, di sini hari ini.
Seorang penghantar makanan, Ahmad Shahidan Abdul Rahman, 34, berkata, dia sudah lama menunggu untuk menerima suntikan vaksin memandangkan isterinya sedang hamil.
“Kerja sebagai penghantar makanan menuntut kami pergi ke merata tempat termasuk lokasi berisiko jangkitan wabak dan bertemu dengan ramai orang termasuk yang sedang menjalani kuarantin di rumah.
“Saya gembira kerana akhirnya menerima vaksin hari ini,” katanya selepas menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini.
Pemberian vaksin itu dijalankan di bawah Program Vaksinasi Rider Food Panda dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama PGA Ulu Kinta.
Yang hadir sama Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Sementara itu, Penyelaras Program Vaksinasi Rider Food Panda, Azizal Naziri berkata, terdapat hampir 1,000 pekerja penghantar makanan di seluruh negeri masih belum menerima tarikh temujanji.
Katanya, keadaan itu mendorong pihaknya menggerakkan inisiatif menghantar permohonan secara rasmi ke PPV berhampiran agar proses vaksinasi dapat disegerakan. – UTUSAN ONLINE