SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan perintah tahanan reman empat individu termasuk seorang jurutera bersambung dua hari lagi sehingga Selasa depan.
Penolong Kanan Pendaftar, Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas permohonan dilakukan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini.
Tahanan reman itu dibuat bagi membolehkan pihak SPRM menjalankan siasatan berhubung kes rasuah berjumlah RM130,000 bagi projek jalan dan sekolah tahfiz pada 2019.
Terdahulu pada 18 Ogos lalu (Rabu), mahkamah turut membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman seorang penolong jurutera selama tujuh hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah lebih RM8,000 sebagai balasan memperakukan kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan sama.
Kesemua suspek berusia antara 37 hingga 45 tahun itu ditahan antara pukul 1.30 hingga 5 petang, 17 Ogos lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Menurut sumber, sekitar 2019 hingga tahun lalu, suspek jurutera dan seorang penolong jurutera dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor terbabit.
Katanya, tindakan itu dipercayai bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah tersebut.
Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek tersebut namun telah menggunakan nama syarikat-syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek itu.
Menurut sumber, seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama pula dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.