LANGKAWI: Seorang bekas tukang masak restoran mencipta keunikan untuk meraih rezeki apabila menjual nasi goreng tingkap yang cuma berharga RM5 sebungkus di Kuah.
Mohd. Ramli Mat Zain, 46, menjual nasi itu dari tingkap kediamannya kerana bukan semata-mata untuk membawa kelainan, sebaliknya menampung hidup setelah dia disahkan menghidap penyakit berkaitan saraf sejak Mei tahun lalu.
“Ekoran itu saya terpaksa berhenti kerja di sebuah restoran, ekonomi saya jatuh teruk dan saya cuba minta bantuan agensi tertentu tetapi tiada satu pun yang dapat. Jadi dengan bekal wang simpanan RM500 saya dan isteri jual nasi goreng dari rumah sewa kami di tingkat satu bangunan ini.
“Oleh kerana penat terpaksa turun naik tangga menghantar pesanan kepada pelanggan, kami buat bakul dan tali untuk turunkan makanan melalui tingkap rumah ini,” katanya ketika ditemui di premis perniagaan tersebut semalam.
Perniagaan yang bermula sejak Ogos tahun lalu menyebabkan Mohd. Ramli dikenali dengan panggilan Abang Tingkap sehingga mendapat perhatian pengguna media sosial yang membuat kandungan siaran di platform masing-masing.
“Kami tidak sangka semakin dikenali dan ramai dermawan menderma. Dulu dua tiga bungkus sehari pun susah mahu dapat tetapi sekarang boleh sampai 100 ke 150 bungkus jualan. Masa Pameran LIMA lalu pula saya mampu jual sehingga 250 bungkus,” katanya.
Katanya, ketika ini dia cuma menjual empat menu termasuk yang popular Nasi Goreng Abang Tingkap iaitu resepi olahan sendiri sejak 35 tahun bergelar tukang masak.
“Semua harga RM5 sahaja sebab niat kami bukan nak untung semata-mata. Kami pernah susah dan sekarang nak bantu mereka yang mungkin berdepan kesukaran tapi bahan yang kami guna premium seperti ikan bilis Langkawi Gred A,” katanya.
Di sebalik kejayaan itu, Mohd. Ramli tidak menafikan turut mendapat pelbagai kecaman daripada orang ramai setelah perniagaannya tular di media sosial.
“Itu yang menyedihkan kerana kami cuma nak cari rezeki. Mereka kecam kenapa orang ada penyakit seperti saya jual makanan. Saya jelaskan bahawa kami upah tukang masak setiap hari dan saya cuma sediakan bahan.
“Pejabat kesihatan juga datang melawat secara berkala untuk lihat persekitaran premis ini , Alhamdulillah semuanya lulus, itu sebab kami boleh terus berniaga. Doktor beritahu Insya-Allah penyakit saya akan sembuh dan cuma perlu banyak berehat, apabila sihat kelak saya teringin nak buka kedai sendiri dengan konsep ini,” jelasnya.-UTUSAN











