635 pintu automatik dipasang di pintu masuk negara

Parlimen: 635 pintu automatik dipasang di pintu masuk negara

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 635 pintu automatik (autogate) akan dipasang di 123 pintu masuk Agensi Kawalan dan Perlindu­ngan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi mengawal kemasukan pelawat asing ke negara ini sekali gus mengelak kemasukan secara haram.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemasangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2, Lapangan Terbang Kuching, Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.

“Kesemua pintu masuk itu akan dipasang sepenuhnya pada Mac 2028. Penggunaan pintu automatik ini akan dapat meminimumkan interaksi manusia di pintu masuk.

“Rekodnya adalah melalui penggunaan sistem biometrik, pengesanan cap jari dan pengecaman wajah sekaligus dapat mengatasi masalah manipulasi yang berlaku,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai tempoh masa diperlukan bagi menyelesaikan isu rasuah dan penyelewengan secara menyeluruh di Imigresen KLIA.

Baru-baru ini, dua pegawai penguat kuasa ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen Dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru ke­rana disyaki terlibat dalam ke­giatan salah laku sindiket flying passport atau kemasukan data pelawat me­ragukan.

Saifuddin berkata, pihak kementerian juga dalam proses melaksanakan Pembuktian Konsep (POC) bagi penggunaan ka­mera badan (body-worn camera) oleh petugas Imigresen di KLIA.

Jelasnya, proses perolehan dijangka dimukatamadkan pada bulan September ini dengan sasaran mendapatkan kelulusan bagi 614 unit kamera badan.

“Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan integriti dan keberkesanan penyampaian per­khidmatan barisan hadapan Imigresen,” katanya.

Menjelang hujung tahun ini, katanya, pihak kementerian juga akan melaksanakan sistem Pemeriksaan Awal Penumpang yang membabitkan kerjasama dengan 10 syarikat penerbangan utama daripada 56 syarikat yang beroperasi di negara ini.

“Sistem ini membolehkan maklumat ketibaan pengembara dihantar lebih awal sebelum ketibaan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN