Jangan jadikan reformasi alat untuk kekal kuasa - Shahril Hamdan

Reformasi bukan alat kekal kuasa

SHAHRIL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menyifatkan reformasi tidak seharusnya dijadikan sebagai alat untuk mengekalkan kuasa. 

Beliau berkata, reformasi dan transformasi sememangnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk dibincangkan, tetapi bukan sebagai ‘gula-gula’ untuk mengekalkan kuasa. 

“Undi18 jadi ‘gula-gula’, peruntukan saksama ahli Parlimen jadi ‘gula-gula’, status ketua pembangkang jadi ‘gula-gula’.

“Orang yang rasa sebahagian idea-idea ini betul pun tahu niat dan tujuannya (yang) sudah tentu salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkenaan pengumuman yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. 

Katanya, kemudahan-kemudahan yang diberikan itu adalah antara reformasi yang diperlukan oleh negara setelah pelbagai kerosakan yang diwarisi daripada golongan kleptokrat dahulu.

Menurut Shahril, apabila sudah terdesak, maka bermulalah menjual agenda reformasi dan menyalahkan orang lain.

“Sama seperti Pakatan Harapan (PH) dahulu sewaktu ada masalah dalam pentadbirannya, salahkan pemimpin dahulu. Hari ini mereka guna taktik sama,” katanya. 

Tambah beliau, yang disebut-sebut kerosakan yang diwarisi itu juga sebenarnya sudah tidak berkuasa semenjak 2018. 

“Sebelum ini tidak ada pula bercakap reformasi. Semasa dalam kerajaan PH sekalipun, Bersatu tak ada pula hendak buat reformasi-reformasi ini, tetapi hari ini tiba-tiba macam-macam ditawarkan mengejut.

“Pelik juga, dalam perutusan hari ini (semalam) tidak ada pula tawaran untuk selesaikan masalah 150,000 laptop sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), malah tak ada pula tawaran untuk pastikan tiada lagi bendera putih.

“Reformasi-reformasi yang dicadangkan ini boleh sahaja dibentangkan oleh perdana menteri lain selepas ini dan bukan perdana menteri sekarang sahaja yang boleh buat perkara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN