Politik cetus banyak masalah - Utusan Malaysia

Politik cetus banyak masalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

“Sebagai satu negara yang merdeka, kita mustahak membentuk suatu kebu­dayaan bagi negara ini. Saya yakin dan percaya bahawa kebudayaan Melayu itu menjadi pokok atau ibarat satu rumah menjadi tiang seri bangsa. Akan tetapi bagi perkakas yang lain bagi mendirikan rumah kebudayaan itu, kita menerima dan menggunakan barang-barang yang didapati daripada bangsa-bangsa lain, bahkan bangsa-bangsa lain di seluruh dunia”.

Demikian petikan ucapan be­kas Perdana Menteri kedua, allahyarham Tun Abdul Razak di Parlimen pada 30 November 1959, saat berbicara soal ke­mer­dekaan, melambangkan kepentingan hubungan antara kaum yang harmoni dalam negara berbilang bangsa ini.

Soalnya, sejauh mana ‘semangat’ kekitaan di Malaysia hari ini? Wujudkah rasa sayang-menyayangi antara kita? Dan yang paling utama, bagaimana mahu mengekalkan perpaduan dan kemerdekaan yang dikecapi ini dengan aman damai?

Menggalas persoalan ini, Mingguan Malaysia menemubual bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) DATUK MOHD. SALLEH ISMAIL. Beliau menabur bakti hampir setengah abad dalam pasukan tentera sejak 1970 sehingga 2018. Ikuti wawancara yang disertai wartawan FAHMI FAIZ dan jurugambar SHAHRIL AZMAN ZAIN ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Sempena bulan kemerdekaan, boleh Datuk kongsikan pandangan mengenai erti sebenar merdeka?
MOHD. SALLEH ISMAIL:
Kemerdekaan satu detik sejarah paling penting berbanding yang lain. Ia lebih penting, lebih mustahak jika kita bandingkan dengan peristiwa sejarah Malaysia yang lain seperti penjajahan 1511 dan sebagainya. Sebab inilah kita dapat satu penganugerahan dan pengiktirafan sebagai sebuah negara bangsa. Kita telah laksanakan dengan terbaik demi memerdekakan tanah air, tanpa pertumpahan darah malah pada masa sama kita telah menerima pula satu sistem raja berperlembagaan. Ia sistem demokrasi yang saya kira hingga ke hari ini masih kita hormati.

Bagaimana orang dahulu yang merasai pahit getir penjajahan menghayatinya?
Saya ingat lagi pada 31 Ogos 1957, saya berada di Stadium Merdeka bersama ayah saya, dan melihat sendiri laungan “merdeka, merdeka” yang dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman. Mereka pada masa itu masih lagi ingin menentukan bahawa kemerdekaan itu dapat dicapai dengan sebaik mungkin. Jadi rakyat bersatu-padu. Kita sangat bertuah sebab orang Melayu ketika itu bertoleransi menerima beberapa bangsa (lain) untuk bersama kita. Dan bangsa lain juga begitu kuat semangatnya untuk menentukan kemerdekaan itu berterusan dan sistem yang kita telah terima iaitu raja berperlembagaan diteruskan. Akhirnya sistem demokrasi itu berjalan begitu baik. Waktu itulah kita menunjukkan perpaduan yang jitu.

Bagaimana pula generasi sekarang menghayatinya?
Kemudian setelah beberapa lama generasi ke generasi berlangsung, sekarang sudah 64 tahun kita merdeka, kita lihat berlakunya penilaian dan penerimaan yang berbeza. Saya ingat itu telah mula kurang diberi keutamaan. Ini khususnya di peringkat anak-anak di sekolah. Mereka patut diberi dan dipupuk semangat kesetiaan kepada rukun negara, ia perlu ditanamkan dalam jiwa anak-anak. Sebab itu sistem pendidikan itu penting. Di situlah saya nampak kurangnya penekanan diberi kepada semangat kemerdekaan, kesetiaan, bersatu-padu, integrasi nasional, kerana kita tak mulakan di sekolah-sekolah.

PECAHKAN KOD RAHSIA KOMUNIS
Bagaimana pengalaman sebagai risik sewaktu membanteras pengganas komunis?
Pada awal 80-an, saya pada waktu itu beroperasi di sempadan khususnya di sempadan Perak dan Kelantan. Waktu itu komunis mempunyai banyak rangkaian penyokong, di Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis khususnya. Jadi, waktu itu saya ditugaskan memantau kemasukan dan aktiviti mereka. Mereka banyak bergantung kepada propaganda, menyiarkan berita melalui radio mereka sendiri, dan ada rangkaian militan yang datang berhubung dengan penyokong di kawasan Gua Musang serta sempadan Malaysia-Thailand malah sampai ke Kelantan.

Apakah strategi pasukan ketika itu?
Jadi, saya menubuhkan satu organisasi penyamaran (bogus organization). Ia organisasi bersifat camouflage dan saya sebagai ketua. Kita berhubung dengan komunis ini. Melalui strategi ini, kita mendapat banyak pencapaian, antaranya kita dapat banyak risalah-risalah yang mereka sebarkan, kami tahu risalah itu mempunyai maklumat tentang perjuangan mereka, serta bagaimana mereka ingin mengubah sistem kita agar mengikut sistem komunis. Saya juga dapat satu kejayaan iaitu memecahkan kod hubungan mereka, ini saya rasa kejayaan paling besar.

Macam mana boleh pecahkan kod komunis?
Melalui siaran radio yang mereka siarkan setiap hari, mereka menyiarkan ceramah, ucapan dan juga pelbagai aktiviti melalui siaran radio. Dalam perkara itu, mereka memberi arahan kepada penyokong dan militan komunis dalam negara kita. Jadi kita berjaya pintas kod dalam siaran komunis itu, macam Kuasa Bersekutu sewaktu memintas kod-kod pasukan Jerman sewaktu Perang Dunia Kedua. Ini sebab apa? Melalui hubungan yang saya ada dengan komunis menggunakan organisasi penyamaran itu tadi. Itu satu pencapaian yang saya rasa terbesar lah.

ANCAMAN MASA KINI
Jika dulu, ancaman subversif terhadap negara datang dari pengganas komunis. Bagaimana pula sekarang?
Hari ini saya lihat, ancaman dari segi politik sendiri, keadaan politik kita. Politik adalah satu komponen yang penting dalam keselamatan negara. Walau ada yang mempersoalkan, “apa perlunya tentera mahu tahu tentang politik? Apa pihak polis perlu tahu tentang politik?” Namun untuk pengetahuan, dari politik inilah boleh mencetuskan banyak masalah.

Contohnya?
Dari segi pemikiran rakyat contoh­nya, yang tidak menerima sistem yang ada, masalah rakyat mempunyai pendapat berbeza antara satu sama lain. Kemudian ditambah pula dengan maklumat palsu serta propaganda yang sengaja diadakan, malah viral yang menyebabkan banyak masalah.

Bila gerakan ini paling ketara?
Ini yang dihadapi sepanjang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan PRU-14. Ini jelas, memang sangat jelas, yang mana media memainkan peranan penting. Ini yang menyebabkan kekalahan yang saya tahu, sebab waktu itu saya masih bertugas. Waktu itu lagi (data perisikan) menunjukkan Barisan Nasional (BN) akan kalah, kita tahu. Kita tahu beberapa faktor menjurus kekalahan, saya beri contoh. Antaranya, satu perkara yang saya ada beri taklimat kepada menteri-menteri kita dulu, iaitu ‘pusat graviti’ kita. Pusat graviti kita waktu itu, yang dihadapi khususnya kepada parti-parti Melayu, ialah aktiviti yang begitu baik yang dilakukan pembangkang ketika itu.

Maksudnya?
Mereka mempunyai strategi yang baik, seperti konsisten dengan kempen serta mendapatkan pengundi-pengundi. Jadi dalam keadaan itu telah menunjukkan bahawa orang Melayu adalah majoriti, tapi boleh dikalahkan. Oleh sebab inilah saya nampak tumpuan tak diberikan khususnya untuk memintas (counter) pihak yang menentukan hala tuju sesuatu pilihan raya, itu tidak dilaksanakan.

Apa yang tak dilaksanakan?
Contohnya, jentera pilihan raya. Itu tak dijalankan dengan baik dan lancar. Selain itu, pembahagian peruntukan-peruntukan yang sepatutnya disalurkan, tapi tidak disalurkan. Ini berlaku dalam setiap pilihan raya. Dalam setiap pilihan raya, inilah post-mortem yang sama. Tapi, sampai sekarang masih berlaku juga, dan ini menyebabkan jentera itu tak berapa kemas.

Sudah beritahu pemimpin ketika itu?
Perkara ini telah diberitahu, malah kita juga telah cadangkan satu sistem psyop dan psywar di peringkat nasional. Psyop ini ialah untuk memenangi hati rakyat, manakala psywar pula untuk melemahkan kekuatan pihak lawan. Tapi tak dilaksanakan sehingga ke hari ini.

DIMINATI PIHAK LUAR
Benarkah dakwaan ada pembabitan pihak luar dalam pilihan raya di negara ini?
Kita tahu tindakan-tindakan (pihak dari luar negara) menjurus kepada memberi bantuan kepada pihak-pihak tertentu (dalam negara). Kita tiada bukti bahawa bantuan itu diserah secara terus, tapi maklumat yang kita terima bahawa beberapa organisasi di Amerika contohnya, ada memainkan peranan. Tapi kita tiada bukti mengatakan bahawa mereka (di Malaysia) menerima secara langsung. Mungkin pihak Cawangan Khas ada, tapi di pihak kita, kita hanya dapat maklumat bahawa sesetengah pemimpin dalam negara ini, sangat diminati untuk meneruskan kedudukan dan kekuatan mereka dalam politik. Mereka juga diberi sokongan secara moral. Itu memang jelas, melalui tindakan-tindakan (beberapa pemimpin politik) yang sering berjumpa dengan pihak yang berpengaruh di luar negara. Maklumat-maklumat itu kita dapat.

Siapa pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan?
Saya mahu sebut pun susah (tertawa). Cukuplah setakat itu, tak perlu sebut. Cuma memang jelas, sewaktu dia berada di beberapa negara, kita buat juga pemantauan. Siapa yang dia jumpa dan sebagainya. Tapi kita tak tahu apa yang dibincangkan. Tapi memang ada perjumpaan dengan beberapa orang yang mendapat sokongan secara moralnya dari luar negara.

BILA MAHU TUKAR KERAJAAN?
Pandangan Datuk, adakah orang dulu hidup lebih aman dan harmoni berbilang bangsa di tanah air berbanding sekarang?
Waktu saya bersekolah dulu, hubungan sesama kaum sangat bagus, waktu 70-an dan 80-an, amat bagus. Tapi setelah adanya elemen-elemen seperti yang saya katakan tadi, yang memporak-perandakan keadaan politik telah memecahkan sokongan dalam politik khususnya politik orang Melayu. Malah adanya orang yang berkepentingan untuk jawatan dan juga menambahkan harta dan kepentingan peribadi, ini telah merosakkan pemikiran politik.

Bolehkah keharmonian dan keamanan Malaysia sebagai negara berbilang bangsa diperkasa?
Memang boleh, tiada masalah. Ini atas kepimpinan sahaja, bagaimana kita tekankan kepada sistem berbilang kaum ini. Saya ada buat satu program bermula 2017 sehingga 2020 di bawah Yayasan Kepimpinan Strategik, khusus kepada pemimpin pelajar tahun akhir iaitu “Ketahanan Nasional”. Waktu itu, saya buat dengan 13 universiti, dan saya dapati bangsa lain begitu positif, sedangkan ramai daripada pelajar Melayu, mereka negatif.

Negatif macam mana?
Contohnya saya bagi satu ceramah tentang bendera Malaysia, saya tunjukkan dan tanya “apa pengertian bendera ini kepada kamu?” Ada juga budak-budak Melayu kita ini, belum saya habis seminar mereka dah angkat tangan. “Bila kita mahu tukar kerajaan ini?” Saya cakap, tamatkan dulu pengajian, nanti awak boleh mengundi besok, mengundi lah. Sedangkan pelajar India, Cina pula sangat patriotik. Mereka tanya, “Datuk kenapa kita jadi begitu berpecah hari ini? Kenapa terlalu banyak hal rasuah misalnya, sedangkan rukun negara itu, yang pertama ialah percaya kepada Tuhan”. Ini pelajar Cina yang tanya. Dia tanya, kalau percaya kepada Tuhan, kenapa kita buat perkara yang tidak bagus? Saya jawab, “betul, kalau kita ada pegangan agama yang bagus, kita tak sepatutnya melakukan benda yang boleh merosakkan negara kita”.

LAWATAN NAIB PRESIDEN AS KE SINGAPURA
Komen tentang Naib Presiden Amerika, Kamala Harris yang melawat Singapura melalui lapangan terbang tentera, sehari selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob angkat sumpah Perdana Menteri (PM)?
Mendarat di lapangan tentera Paya Lebar di Singapura ini, saya rasa itu tidak normal, bukan biasa. Sepatutnya mendarat di Changi, betul? Mungkin ada aspek keselamatan, barangkali. Mungkin ada yang maklumkan Singapura bahawa lebih selamat (Kamala) mendarat di sana (Paya Lebar) daripada di Changi. Kedua, dari aspek masa (timing), itu saya rasa secara kebetulan saja. Sebab saya rasa pelantikan Perdana Menteri sekarang ini memang sudah boleh dibaca. Sebab tiada yang lebih sesuai untuk ambil alih. Mereka (Amerika) pun boleh baca politik kita, mereka faham bahawa Ismail ini mengisi ruang, sebab apa? Sebab dia jadi Timbalan Perdana Menteri, ada pengalaman dalam krisis Covid-19 dan beliau masih lagi ahli UMNO, contohnya.

Apa isyarat di sebalik keadaan itu?
Maknanya, mereka (Amerika dan Singapura) boleh baca benda ini. Ini secara kebetulan lah, tapi mendarat di lapangan terbang tentera itu lebih kepada isu keselamatan dan juga menunjukkan kepada Malaysia bahawa ketenteraan Singapura masih disokong kuat oleh Amerika. Itu yang mereka mahu tunjuk. Ini sama macam isu pesawat perisikan Israel melintasi negara sebelum ini, ia berlaku selepas kita menyatakan sokongan kepada Palestin. Soalnya, kenapa (pesawat itu) pergi Singapura? Kena tak lalu terus melintasi Sumatera? Jadi ini saya rasa diolah oleh Singapura sendiri. Mahu tunjuk kepada Malaysia, “jangan main-main, kamu ini hanya pemain yang kecil.” Jadi ini sebagai satu amaran kepada kita. Saya percaya ini semua permainan mereka.

LAUT CHINA SELATAN
Sejauh mana isu Laut China Selatan mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam arena geopolitik Amerika-China?
Kita dah ada persetujuan beberapa negara, yang dikenali sebagai Kod Etika, bagaimana untuk memainkan peranan di kawasan masing-masing. China pun, apapun mereka mahu kata, tapi kena ikut juga kod itu, kena menghormati hak setiap negara yang ada tuntutan (terhadap Laut China Selatan). Tapi China mempunyai rancangan lebih besar, jadi ia mahukan satu kawasan yang strategik. Ini adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang (China). Jadi masing-masing termasuk Malaysia mempunyai kepentingan di situ, dan selagi semua berpakat melalui Kod Etika ini, saya rasa kita akan baik-baik sahaja.

SELAT MELAKA
Sekarang Malaysia banyak bangunkan projek di Selat Melaka dengan kerjasama China. Sejauh mana kesan terhadap Singapura yang dibelakangi Amerika?
Itu susah nak baca juga, sebab Singapura ini mungkin juga (baik) dengan China sebab mereka punya konsep diaspora etnik tertentu. Kita kena percaya bahawa Singapura dan China itu tak akan berubah, mereka punya kesetiaan bagi saya kalau Singapura, masih China. Amerika itu hanya (kepentingan) strategik sahaja, misalnya jika diserang mereka boleh dapatkan sokongan Amerika, mereka mahukan peralatan, kelangsungan mereka dan sebagainya. Singapura ini negara yang pentingkan kelangsungan (survival). Tapi saya rasa kesetiaan mereka, saya rasa masih lagi kepada China. Dan China masih lagi tidak mempunyai satu niat untuk menjajah semua negara-negara di Asia Tenggara, sebab mereka memang daripada dulu pun tak pernah jadi expansionist nation, mereka hanya jaga rakyat dalam negeri, di sempadan mereka seperti Mongolia. Jadi China ini, kita lihat hari ini lebih kepada kekuatan ekonomi dan teknologi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×