Perlis negeri pertama beralih fasa tiga PPN - Utusan Malaysia

Perlis negeri pertama beralih fasa tiga PPN

AZLAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis bakal menjadi negeri pertama beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekali gus pelbagai aktiviti khususnya sektor ekonomi dan sosial kembali dibenarkan.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sekali gus memberi perkhabaran cukup gembira kepada rakyat di negeri ini.

Bagaimanapun, pengumuman rasmi mengenainya akan dimaklumkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat bersama perincian prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai semasa fasa ketiga tersebut.

“Alhamdulillah, hari ini, mesyuarat MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri telah meluluskan pergerakan Perlis ke fasa ketiga PPN.

“Ini bermakna banyak aktiviti harian dan operasi perniagaan tertentu yang boleh dibenarkan. Salah satunya ialah kebenaran untuk makan di restoran, kedai atau gerai makan.

“Bagaimanapun ada SOP yang perlu dipatuhi. Apa pun, tunggu pengumuman rasmi daripada pihak MKN berhubung perkara ini,” katanya di sini hari ini.

Perlis telah memenuhi ketiga-tiga syarat untuk beralih ke fasa tersebut melalui jumlah kes, jumlah katil untuk pesakit Covid-19 dan kadar vaksinasi dua dos.

Sehingga kini, jumlah vaksinasi Covid di negeri ini adalah sekitar 43.5 peratus iaitu melebihi 40 peratus jumlah yang melayakkan negeri ini beralih kepada fasa tiga PPN.

Difahamkan dalam fasa tiga PPP, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi selain rakyat kembali dibenarkan bergerak tanpa had radius di dalam Perlis namun pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Perkembangan semasa kes Covid-19 di negeri ini menyaksikan sembilan kes baharu dilaporkan hari ini dengan jumlah keseluruhan kes aktif adalah sebanyak 69 kes.

Jumlah kes terkumpul Covid-19 di Perlis adalah sebanyak 734 kes membabitkan sembilan kematian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN