Perak kaji semula RTB elak banjir - Utusan Malaysia

Perak kaji semula RTB elak banjir

MOHD. Zolkafly Harun ketika penggulungan DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian secara mendalam dan terperinci semua Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri ini berikutan kejadian ban RTB pecah yang menyebabkan banjir di Bagan Serai baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, semua kertas cadangan dan pembinaan projek tebatan banjir yang sedang dirancang atau dalam pembinaan, diteliti semula agar RTB yang dibina benar-benar mampu mengurangkan kesan banjir.

“Saya beri jaminan satu laporan yang komprehensif akan dihasilkan oleh JPS Perak agar kejadian ban RTB pecah seperti di Alor Pongsu baru-baru ini tidak berlaku di kawasan lain,” katanya ketika sesi penggulung di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mengenai masalah banjir yang berlaku di kawasan Sungai Larut, menurut Mohd. Zolkafly, masalah itu disebabkan paras ban RTB yang rendah.

“JPS Perak akan meninggikan paras ban RTB di Sungai Larut dan akan menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Larut mulai bulan depan bagi mengurangkan masalah banjir terutamanya di kawasan Kuala Sepetang,” katanya.

Menurutnya, JPS Perak juga mengambil inisiatif memasang dua pam bergerak untuk mengepam air di kawasan banjir ke dalam Sungai Larut bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan yang rendah.

“JPS Perak telah membelanjakan hampir RM890,000 tahun ini di kawasan DUN Matang untuk mengurangkan masalah banjir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN