Penyatuan Seni - Utusan Malaysia

Penyatuan Seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNTUK penge­tahuan semua, kolum Rondivu sudah mencecah usia setahun pada 26 Julai lalu. Artikel pertama kolum ini disiarkan pada 26 Julai 2020 dengan tajuk “Budaya baharu muzik Malaysia” yang menampilkan tiga media independen: Junklist, Music Addicts Malaysia dan Writers Daily.

Bila difikir balik, agak pelik apabila saya sebagai sebuah media menampilkan media lain dalam kolum saya. Namun, itulah yang saya mahu tunjukkan kepada semua. Baik tarafnya industri atau lapangan, ada ekosistem yang menghidupkannya. Semua komponen dalam ekosistem itu saling melengkapi, maka perlulah diraikan semuanya.

Saya juga mula perasan, kolum saya ini makin banyak menampilkan acara-acara muzik. Kekalutan kerja dan lesu upaya akibat bekerja dari rumah buatkan saya tidak begitu mencari bahan, sebaliknya lebih banyak menunggu bahan sampai (saya minta maaf atas kelemahan ini). Kebetulan, ramai pula penganjur menghubungi saya untuk liputan tentang acara mereka. Saya sambut dengan selebar-lebar tapak tangan.

Freedom A(r)t Home Fest

Itu kandungan utama artikel saya minggu ini, tentang Freedom A(r)t Home Fest yang akan diadakan secara maya bermula 9 hingga 15 Ogos ini. Jangan tanya kenapa huruf ‘r’ itu dalam kurungan, saya lupa nak tanya penganjur.

Acara ini, yang saya ringkas­kan sebagai FAHF, merupakan satu lagi bukti nyala rasa yang membakar dalam kalangan penggiat seni tempatan. Mereka tidak pandang pandemik sebagai halangan sebaliknya sakit sementara yang perlu diberi penawar.

FAHF juga menyambung perbincangan tentang kolaborasi yang banyak disebut sepanjang penganjuran Hari Gig Kebangsaan (HGK) dan ketika membicarakan tentang album Jemson.

Acara ini diangkat setahap lebih tinggi apabila dengan berani menggabungkan pelbagai cabang seni dalam satu festival maya. Ada bacaan puisi, persembahan akustik, jualan dan pameran produk seni serta sesi melepak.

Lagi-Lagi Pandemik
Saya tunaikan janji minggu lepas dengan subtajuk ini. Pandemik masih menggila dan kita masih terkurung. Waktu yang menekan sebegini, jiwa kita meronta minta dipujuk. Itulah yang ditawarkan FAHF.

Ketua organisasinya, Zalwana Jay berkata, acara ini niatnya mahu dilaksanakan secara santai-santai buat orang melepas bosan. Namun, melihat keadaan masyarakat yang semakin tertekan, Zalwana menambah satu lagi unsur dalam acara ini iaitu kutipan dana.

Dana yang dikumpul akan disalurkan kepada golongan karyawan yang tertindas dan memerlukan bantuan, katanya.

“Sebagai anak seni, kami bertanggungjawab untuk menyumbang tenaga, masa dan idea untuk untuk memberikan sesuatu kepada masyarakat. Setidaknya ada sesuatu untuk mengusik deria semangat mereka terutamanya golongan muda, rakan-rakan dan anak-anak seni,” jelas Zalwana.

Kolaborasi seberang
Seperti Indie Dari Rumah, FAHF juga nampaknya menampilkan kolaborasi dengan negara jiran. Untuk persembahan akustik akan menampilkan enam bakat dari seberang iaitu Alir, Bedchamber, Bilal Indrajaya, Nadin Amizah, Rara Sekar dan Danilla Riyadi. Malaysia pula diwakili Kolar Hijau, Hacktick!, Seakan Bintang, Juno And Hanna, Dewataraya, Late Night Frequency, Amir Alif, WeBurnDaBox, Dataran Kertas, Fi7i, Yang Ikhlas, Empty Page, Amrita Soon, wp.shhh dan Imzzz.

Pentas puisi pula menampilkan 27 pengkarya, antaranya Aliff Awan, Ashikin M, EJ Safari, Petak Daud, Abigail Elizabeth dan Pavithrah Sambu. Kepelbagaiannya menarik kerana tidak hanya menampilkan pengkarya satu bahasa dan satu bangsa, malah saya juga fikir anda tidak akan saksikan persembahan deklamasi puisi seperti yang lazim dilihat dalam pertandingan di sekolah atau universiti. Senarainya dibuka dengan Aliff Awan, jadi anda boleh bayangkan sendiri.

Tidak cukup dengan persembahan, mereka bawakan juga sesi melepak bersama penggiat seni prolifik dan salah seorangnya eksentrik. Ada penyanyi, penulis dan aktivis, Wani Ardy; penulis dan penerbit, Mosyuki Borhan serta pelakon, Iedil Putra. Yang eksentrik itu Dr. Kamal Sabran, pendidik dan penggiat muzik eksperimental.

Ubat duka lara
“Untuk acara ini, kami di pihak penganjur cuma mahu bergembira dengan kawan-kawan semula, bertemu dengan keluarga seni, menaikkan sema­ngat mereka, bersolidariti untuk bendera putih dan bersuara melalui seni,” kata Zalwana.

Tidak besar harapan mereka, hanya mahu usaha ini menjadi penawar, sekurang-kurangnya buat sementara atas semua kesempitan yang dialami rakyat Malaysia sepanjang pandemik ini. Mereka tawarkan seni dalam solidariti sebagai ubat.

Sebarang maklumat lanjut tentang temasya ini anda boleh perolehi di akaun Instagram @freedomarthome dan tanda pada #FreedomAHF. Sama-sama kita menyokong usaha murni ini dan bergembiralah dalam dakapan seni. Semoga berjaya FAHF!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya