PETALING JAYA: Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyuarakan pendapat bahawa rakyat memerlukan sistem pendidikan pasca pandemik Covid-19 yang bersifat holistik dan komprehensif dengan mengambil kira keperluan untuk melakukan penetapan terbaik ‘great reset’ untuk pendidikan dan kurikulum demi masa depan rakyat dan negara.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mengemukakan polisi yang terbahagi kepada dua bab atas hasil libat urus pakar-pakar kesihatan, pendidikan serta pihak yang prihatin terhadap pendidikan negara kepada kerajaan kini khususnya bagi menteri pendidikan yang baharu.
“Penyataan polisi tersebut dibahagikan kepada dua bab, bab pertama ialah berkaitan isu-isu pendidikan yang timbul sewaktu wabak melanda dan syor jalan keluar bagi semua masalah tersebut.
“Bab kedua pula ialah pembentangan pelan pemulihan jangka masa panjang untuk isu pendidikan dengan mengemukakan solusi yang tuntas demi menghadapi dunia IR (Revolusi Industri) 4.0 yang lebih mencabar dan juga dunia pasca Covid-19 yang memerlukan pendekatan luar biasa dan bukan konvensional,” katanya.
Sebanyak 14 isu utama ditimbulkan dalam bab pertama iaitu mukadimah, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), penutupan dan pembukaan sekolah, lost generation, vaksin, TV Pendidikan, Radio Pendidikan, Insentif Guru, Kempen Membaca, Pendidikan Sebagai Proses Holistik Sewaktu Wabak Melanda, Alternatif Kepada Pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan dan Pengajian Tinggi.
Di dalam bab kedua pula, sebanyak 12 isu dibawakan sebagai pelan cadangan jangka masa panjang untuk pendidikan iaitu Laporan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara (JkDPN), Model Sistem Pendidikan Baharu (New education Model), Jawatankuasa Dataraya, Program Sarapan Pagi, Pendidikan Kalis Masa Hadapan, Hyperscale Public Cloud Computing (Komputer Awan Awam Berskala) dan Pendidikan, Majlis Pendidikan Tinggi Kebangsaan, Amalan Revolusi Perindustrian 4.0 Secara Imersif di Pendidikan Tinggi, Guru Berkepemimpinan, Isu Integriti di Institut Pengajian Tinggi (IPT), Siswa Teknopreneur dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) 4.0 Pasca Covid-19.
Terdahulu, Maszlee Malik mengemukakan satu pelan cadangan kepada kerajaan untuk membaik pulih sistem pendidikan negara ketika dilanda pandemik Covid-19.










