Pemimpin berebut kuasa rugikan rakyat, malukan negara - Yadim

Pemimpin berebut kuasa rugikan rakyat, malukan negara – Yadim

NASRUDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pemimpin negara ini perlu memberikan keutamaan tertinggi kepada isu keselamatan dan kesihatan rakyat dan bukannya berebut kuasa bermusuhan sesama sendiri.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, bercakaran merebut kuasa bukan sahaja merugikan rakyat, malah memalukan negara pada pandangan pihak luar.

Jelas beliau, pemimpin yang bercakaran menghabiskan lebih banyak masa dan tenaga untuk kepentingan sendiri hingga tanggungjawab membela rakyat semakin diabaikan.

Sehubungan itu, katanya, Yadim dan 130 rakan pertubuhan bukan  kerajaan (NGO) Islam lain dalam Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) menyeru semua pihak terutamanya para pemimpin untuk menghentikan agenda bertelagah dan berebut kuasa ketika ini yang hanya memecah belahkan negara.

“Yadim menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyeru semua pemimpin di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah.

“Titah baginda bahawa semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul  tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan  ummah juga perlu diberikan perhatian semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Nasrudin berkata, titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bahawa ketika ini bukan masa sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19 adalah sangat tepat dan perlu dijunjung semua.

Katanya, jika Raja-Raja Melayu sendiri sudah bersuara kerana prihatin dan khuatir dengan keadaan semasa, maka amat wajarlah semua pihak di negara ini mendengar dan taat kepada titah mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya