IPOH : Jaringan Ifedayo Olusegun pada minit-minit akhir perlawanan membantu PDRM mencuri kemenangan 3-2 ke atas Perak FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak di sini hari ini.
Ketika perlawanan tampak berakhir seri 2-2, Olusegun merembat kencang melepasi Muhammad Haziq Nadzli untuk meruntun hati lebih 11,000 penyokong tuan rumah.
Begitupun perlawanan itu penuh drama apabila pengadil Muhammad Munir Mohd Izam menafikan sepakan penalti kepada kedua-dua pasukan selepas merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR).
Perak bermula cemerlang apabila mendahului melalui Tommy Mawat pada minit kesembilan apabila menggegar gawang dengan rembatan kencang.
PDRM mengasak selepas itu tetapi dinafikan penalti oleh VAR pada minit ke-16.
Bagaimanapun tujuh minit kemudian Ifedayo Olusegun menanduk masuk gol penyamaan.
Giliran tuan rumah dihampakan apabila VAR tidak mengesahkan penalti pada minit ke-31.
Bersambung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan bertarung sengit.
PDRM mendahului melalui Bruno Suzuki pada minit ke-73., tetapi Wan Zack Haikal mengikat kedua-dua pasukan 2-2 sebelum Ifedayo menghukum Perak.
Sebelum itu penonton tuan rumah sekali lagi dikecewakan apabila dinafikan sepakan penalti oleh VAR. – UTUSAN











