Zii Jia mara perlawanan akhir Terbuka Thailand

Zii Jia mara perlawanan akhir Terbuka Thailand

LEE Zii Jia melangkah ke perlawanan akhir badminton Terbuka Thailand, sebentar tadi. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran pertamanya musim ini selepas mara ke perlawanan akhir Terbuka Thailand di Bangkok, Thailand, sebentar tadi.

Bintang No. 10 dunia itu menundukkan pemain veteran Taiwan, Chou Tien Chen menerusi kemenangan dalam aksi yang berlanjutan sehingga set penentuan 18-21, 21-12, 21-13 dalam masa 1 jam 6 minit.

Kejayaan itu juga menyaksikan anak jati Kedah berusia 26 tahun tersebut menyamakan rekod pertemuan 5-5 dengan Tien Chen yang merupakan pemain No. 14 dunia.

Pernah menjuarai Terbuka Thailand pada 2022, Zii Jia kini memburu gelaran keduanya di Bangkok dan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long bakal menjadi pencabarnya pada final, esok.

Angus yang menghuni ranking ke-21 dunia menjejakkan ke perlawanan akhir selepas mengejutkan juara dunia yang juga bintang muda tuan rumah, Kunvalut Vitidsarn 21-14, 18-21, 21-19 dalam masa 1 jam 18 minit.

Berdepan pemain berusia 30 tahun itu, sekalipun rekod pertemuan berpihak kepada Angus 4-3, namun dalam dua pertemuan terakhir pada Indonesia Masters, Januari lalu dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China semuanya dimenangi Zii Jia.

Justeru, kelebihan psikologi berpihak kepada anak buah Wong Tat Meng itu dan kemenangan bakal memberi petanda positif buat Zii Jia menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×