Pembangkang desak Exco Kesihatan Perak letak jawatan - Utusan Malaysia

Pembangkang desak Exco Kesihatan Perak letak jawatan

MOHD. Akmal Kamaruddin ketika sidang DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang menggesa Exco Kesihatan negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin meletak jawatan kerana gagal menjalankan tanggungjawab dan peranan menangani isu berkaitan Covid-19.

Gesaan itu dibuat selepas berlaku ketegangan semasa sesi penggulungan hari terakhir sidang dewan hari ini apabila Mohd. Akmal kerap diasak oleh pembangkang yang meminta penjelasan pelbagai perkara berkaitan Covid-19 antaranya sejauh mana persiapan kerajaan negeri jika kes meningkat termasuk isu penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital.

Datuk Asmuni Awi (Amanah-Manjoi) berkata, Mohd. Akmal jelas gagal melaksanakan tugasnya apabila gagal menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli dewan berkaitan Covid-19, sebaliknya Exco Kesihatan itu hanya membaca teks jawapan.

“Kami nak tahu usaha kerajaan menangani Covid-19 tetapi beliau ternyata tak tahu apa yang sepatutnya dilakukan selaku Exco Kesihatan. Apabila kita timbulkan apa peranan beliau, beliau tidak menjawab, itu yang menyebabkan berlaku ketegangan dalam dewan.

“Banyak keadaan beliau tak pernah turun padang. Dia perlu bantu Menteri Besar seperti turun lawat PPV, lihat keperluan yang ada, apa kekurangan di hospital, ambil tahu kebajikan petugas barisan hadapan tapi kita tak nampak dia turun padang, yang turun padang Menteri Besar saja.

“Beliau gagal laksanakan tugas. Kalau tak berani atau tidak tahu tanggungjawab, tak tahu jalankan tugas, elok letak jawatan, saya gesa beliau letak jawatan, diberikan kepada orang lain,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.

Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) berkata, sesi penggulungan oleh Mohd. Akmal mengecewakan dan telah membawa emosi amarah ramai ahli dewan selepas Exco Kesihatan itu seolah-olah meletakkan semua tanggungjawab menangani isu Covid-19 ke atas bahu Menteri Besar.

Katanya, adalah tidak wajar Mohd. Akmal memberikan alasan bahawa struktur menangani Covid-19 dipengerusikan oleh Menteri Besar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Adalah jelas beliau enggan dan tak mampu menjawab soalan-soalan ahli dewan. Tapi tak mengapa jika beliau mengakui kelemahan, kegagalan dan meminta maaf, kami boleh kerjasama dan sedia terima permohonan maaf.

“Namun beliau bukan sahaja tak mohon maaf tapi apabila ditanya mengapa tak turun padang, beliau jawab ‘kalau terima jemputan Menteri Besar, beliau akan turun padang’.

“Itu jawapan kurang ajar. Tak pernah dengar Exco tunggu jemputan MB, ini satu penghinaan,” katanya.

Terdahulu, seperti dijangka dewan hangat ketika tiba giliran Mohd. Akmal menggulung perbahasan apabila beliau diasak beberapa ADUN pembangkang yang tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan berhubung isu Covid-19, selain menuduh exco tersebut tidak menjalankan tugasnya dengan baik.

Sebelum ini, beberapa ADUN mengkritik Mohd. Akmal kerana didakwa lemah menjalankan peranannya menangani isu berkaitan Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya