Pemandu lori maut, nahas dua kenderaan - Utusan Malaysia

Pemandu lori maut, nahas dua kenderaan

NAHAS membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Persiaran Negeri, Nilai, Seremban, petang tadi. - GAMBAR IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas lori yang dipandunya terbabas ke laluan bertentangan dan kemudian melanggar sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Persiaran Negeri, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah lori satu tan yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dalam perjalanan menghala ke Nilai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Katanya, lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 22 tahun.

“Akibat kemalangan, mangsa pemandu kereta mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke Nilai Medical Center untuk menerima rawatan.

“Pemandu lori yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd. Fazley, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bakarya Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.56 petang dan anggotanya tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati terdapat mangsa yang merupakan pemandu lori dalam keadaan tersepit.

“Lelaki berusia 25 tahun tersebut tidak sedarkan diri ketika dikeluarkan dan pihak Kementerian Kesihatan yang tiba mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pemandu kereta bagaimanapun dikatakan telah dikeluarkan oleh orang awam dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

Jelasnya, mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN