KUALA SELANGOR: Hasrat seorang pemuda berjalan kaki menuju ke rumah saudaranya berakhir tragedi apabila maut dilanggar lari di Kilometer 2.5 Jalan Simpang Tiga, Jeram di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5 pagi berlaku ketika lelaki berusia 46 tahun itu berjalan bersendirian ke rumah berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter dari kediamannya di Ladang Lombourne.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima maklumat mengenai kemalangan maut itu pada pukul 7.20 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran.
“Tiada sebarang kesan brek atau sisa pecahan kenderaan dikesan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di seluruh anggota badan.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat,” jelasnya.
Tambah Ramli, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat supaya tampil bagi membantu siasatan.
Mereka diminta menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhamad Najmi Abd. Rahman di talian 017-8028105 atau 03-32891222.