PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar proses pelantikan Perdana Menteri akan dilaksanakan menerusi surat akuan bersumpah (SD) setiap ahli Parlimen.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, SD perlu diserahkan sebelum pukul 4 petang esok dengan pengesahan oleh setiap wakil rakyat akan diperlukan.
“Seri Paduka juga menitahkan proses pelantikan Perdana Menteri akan dilaksanakan menerusi SD oleh setiap ahli Parlimen.
“Insya-Allah, saya ingin memaklumkan Pas telah bersedia dengan SD ahli Parlimen Pas untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada hari ini, ketua-ketua parti tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan Perdana Menteri baharu dengan pertemuan itu mengambil masa kira-kira dua jam.
Terdahulu, Tuan Ibrahim memaklumkan beliau mewakili Pas diterima menghadap Seri Paduka bersama dengan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Pejuang, Parti Warisan Sabah, Parti Amanah Negara, DAP dan PKR.
Katanya, dalam pertemuan itu Seri Paduka menitahkan kerjasama semua pemimpin parti agar mewujudkan keharmonian, ketenteraman dan memberi fokus kepada isu kesihatan, ancaman Covid-19, keadaan ekonomi rakyat dan negara.
“Pas menyambut baik titah Seri Paduka agar keutamaan mesti diberikan untuk kesejahteraan rakyat dan negara buat masa ini sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 boleh diadakan.
“Saya menyeru semua pihak agar kekal bertenang dan menjaga kesihatan diri dan keluarga. Kita yakin akan kebijaksanaan Seri Paduka untuk mengakhiri kemelut politik ini dengan jayanya,” katanya.










