GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa menyelesaikan keraguan dalam kalangan pengguna mengenai harga dan kualiti produk ‘pulse oximeter’ yang saat ini semakin popular di pasaran.
Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, pihaknya mendapati produk itu dijual secara online dan di banyak tempat tanpa sekatan dengan mereka yang tidak mengetahui apa-apa mengenai perubatan dan tidak berkelayakan turut menjual alat tersebut.
Menurut beliau, situasi itu adalah risiko yang besar kepada pengguna dan banyak masalah boleh timbul akibat membeli barang berkaitan perubatan dari kedai yang tidak diketahui.
“Kami menasihatkan pengguna membeli alat pemeriksaan diri ini dengan cadangan doktor yang menjualnya dengan betul di farmasi.
“Dengan membeli melalui talian dan daripada orang yang tidak berpengalaman, alat palsu lebih cenderung dijual dan harganya mungkin lebih tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas beliau, instrumen itu adalah alat elektronik yang mengukur oksigen dan nadi pengguna dan jika jumlah yang ditunjukkan salah disebabkan produk dibeli palsu ia boleh membahayakan nyawa.
Sehubungan itu tambah beliau, sekiranya pengguna mahu mendapatkan alat tersebut adalah lebih baik membelinya di farmasi atau di kedai ubat terdekat.
“Pengguna boleh mendapatkan penerangan tentang cara mengendalikannya di kedai perubatan tersebut dan boleh mengetahui mengenainya dengan bertanya kepada ejen jualan.
“Sekiranya peranti tidak berfungsi, ia boleh diganti dengan mudah sekali gus dapat mengelak masalah sekiranya membeli secara online dengan harga yang tinggi dan kemungkinan palsu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengawal harga alat ujian kendiri itu memandangkan setiap kedai menjual peranti dengan harga yang berbeza.
“Peranti ini juga perlu disyaratkan supaya hanya boleh dijual di kedai ubat kerana dengan cara ini produk asli dan harga berpatutan dapat dijamin kepada para pengguna,” katanya. – UTUSAN










