Nilai kemanusiaan, integriti perlu jadi teras bangunkan AI

Nilai kemanusiaan, integriti perlu jadi teras bangunkan AI

ANWAR Ibrahim ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin semasa melawat ke Universiti Tokyo, Jepun, semalam.-PEJABAT PERDANA MENTERI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bidang tek­nologi seperti kecerdasan buatan (AI) perlu dibangunkan dengan teras nilai kemanusiaan, inte­griti serta tanggungjawab moral dan bukannya demi keuntungan ekonomi semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, AI tidak seharusnya dilihat hanya sebagai suatu bidang khusus sebaliknya sebagai faktor merentas disiplin yang mempe­ngaruhi ekonomi, teknologi dan setiap cabang ilmu.

Beliau berkata, dunia kini berdepan cabaran lebih besar daripada sekadar kemajuan teknologi iaitu konflik, pepe­rangan, ketidakadilan dan penindasan yang berterusan walaupun industri AI sedang berkembang pesat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita menyokong kemajuan teknologi termasuk AI namun jika ia masuk ke rumah, sekolah, hospital, pejabat, institusi awam bahkan minda kita maka cabaran yang dihadapi adalah amat besar.

“Kita mesti membina sistem yang berkhidmat untuk manusia bagi memperkayakan lagi nilai kemanusiaan, bukannya merendahkannya.

“Ia bagi memastikan institusi kekal bertanggungjawab kepada rakyat serta masyarakat terus mengingati perkara yang tidak boleh diwarisi oleh mesin iaitu hati nurani, ihsan, rahmah, tanggungjawab, integri­ti dan keprihatinan terhadap sesama insan,” katanya ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin semasa melawat ke Universiti Tokyo, Jepun, semalam.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut memberi amaran bahawa masa depan teknologi AI kini dilihat dibentuk negara-negara tertentu dan beberapa kelompok kecil syarikat korporat.

Beliau berkata, sistem yang memacu era baharu AI memerlukan jumlah data, cip, tenaga, infrastruktur awam dan modal besar namun sumber-sumber itu tidak diagihkan secara se­imbang atau adil.

Tambahnya, ketidakseimba­ngan itu bukan sekadar isu teknikal tetapi boleh menjejaskan kedaulatan, demokrasi dan kebertanggungjawaban awam.

Hari ini, Anwar bakal me­nyam­paikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nik­kei Ke-31 bertajuk Naviga­ting Strategic Uncertainty yang menyen­tuh peranan Malaysia dalam mengemudi landskap geopolitik kompleks serta meneroka pe­luang baharu untuk kemakmuran serantau.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini