PRN Johor: Persediaan Pas negeri terjejas keputusan pisah dengan Bersatu - Utusan Malaysia

PRN Johor: Persediaan Pas negeri terjejas keputusan pisah dengan Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pas Johor mengakui persiapan yang telah dibuat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi terjejas susulan keputusan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kelmarin.

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, persiapan telah dibuat bersama Bersatu, termasuklah soal agihan kerusi komponen Perikatan Nasional (PN) dan senarai nama calon-calon yang bakal bertanding.

Menurut beliau, pihaknya juga telah mengenalpasti 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi Pas menerusi gabungan berkenaan.

“Sebelum ini memang kita sudah lakukan gerak kerja di peringkat akar umbi bersama Bersatu, agihan kerusi dan senarai nama calon juga telah diserahkan kepada kepimpinan pusat dengan Pas akan bertanding 15 kerusi atau lebih.

“Tetapi apabila keputusan telah dibuat bahawa Pas dan Bersatu akan berpisah, tidak dinafikan persiapan kita sedikit terjejas. Walaubagaimanapun, Pas Johor akur dengan ketetapan yang telah dibuat kepimpinan pusat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas Johor di Bandar Baru Uda, di sini malam tadi.

Kelmarin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan mengumumkan pihaknya secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Manakala Pada 2 Jun lalu, Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dilaporkan berkata, parti itu mengambil perhatian serius terhadap krisis dan konflik dalaman Bersatu yang dilihat memberi kesan terhadap Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Mahfodz turut memberitahu, Pas akan merangka strategi berdasarkan jajaran kerjasama baharu yang akan dibuat secara kerjasama pilihan raya (electoral pact) bersama beberapa parti politik.

“Kita akan gunakan logo Pas sendiri di kerusi-kerusi ditandingi, namun kita tidak masuk PRN Johor ini secara solo sebaliknya menerusi ‘electoral pact’ bersama beberapa parti lain antaranya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

“Keputusan muktamad tertakluk kepada kepimpinan pusat, termasuklah soal berapa kerusi akan ditandingi dan calon-calonnya kelak,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan hubungan silaturahim antara kepimpinan Pas negeri dan ahli-ahlinya terhadap rakan-rakan Bersatu di Johor tetap berlangsung dengan baik walaupun tidak lagi berada dalam satu gabungan politik.

“Saya sendiri telah hubungi pimpinan Bersatu Johor dan meminta agar hubungan silaturahim yang selama ini terjalin diteruskan kerana yang berpisah hanyalah kerjasama politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN