Op Patuh: RM26,000 kompaun dikeluarkan - Utusan Malaysia

Op Patuh: RM26,000 kompaun dikeluarkan

YUSUH Mat Tais (tiga kanan) memeriksa rekod kemasukan pekerja di salah sebuah kilang yang diperiksa melalui Op Patuh di Kota Kinabalu, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sebanyak lima kompaun berjumlah RM26,000 dikeluarkan kepada tiga pekerja dan dua pengusaha kilang dalam pemeriksaan Op Patuh Bersepadu yang diadakan di dua buah kilang, dekat sini hari ini.

Tiga pekerja itu dikompaun kerana gagal mengimbas MySejahtera atau menulis butiran diri semasa masuk ke premis tempat mereka bekerja.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Senior Asisten Komisioner Yusuh Mat Tais berkata, dua pengusaha kilang dikompaun kerana kecuaian mereka selaku majikan untuk memastikan semua pekerja mengimbas MySejahtera.

Oleh itu, kedua-dua pengusaha kilang ini dikompaun RM10,000 setiap seorang dan pekerja pula dikompaun RM2,000 setiap seorang.

“Berdasarkan pemantauan yang kita jalankan, kedua-dua kilang beras dan air mineral itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, cuma pekerja mereka gagal mengimbas aplikasi MySejahtera semasa masuk ke dalam premis.

“Ketiga-tiga pekerja di dua buah kilang ini antara 110 pekerja yang diperiksa dalam Op Patuh yang dijalankan oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu ini,” katanya selepas pemantauan dua kilang dalam Op Patuh hari ini.

Menurut beliau, sejak pelaksanaan Op Patuh, masih ada ruang yang boleh diperbaiki dalam pematuhan SOP sama ada bagi pendaftaran MySejahtera, kapasiti pekerja dan penjarakan fizikal.

“Justeru, kita menasihatkan kepada pengusaha kilang, pasar raya mahupun gudang supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Op Patuh pada hari ini diadakan serentak di seluruh Sabah membabitkan semua daerah yang mempunyai pejabat Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, operasi pemantauan sebegitu akan diteruskan dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mahupun pihak berkuasa tempatan yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya