Noor Hisham tampil dalam taklimat Majlis Pemulihan Negara kelolaan Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

Noor Hisham tampil dalam taklimat Majlis Pemulihan Negara kelolaan Dr. Mahathir

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hadir dalam sesi mesyuarat pertama Majlis Pemulihan Negara (MPN) secara maya hari ini.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tersebut bagaimanapun menjelaskan bahawa kemunculan Ketua Pengarah Kesihatan itu sekadar memberi taklimat perancangan kerajaan.

“Beliau memaklumkan dengan terperinci segala usaha kerajaan terutama Kementerian Kesihatan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 yang makin teruk ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat mingguan Majlis Eksekutif Pejuang yang dihadiri barisan kepimpinan parti tersebut.

Selain dirinya, seramai 19 individu turut menyertai mesyuarat sulung MPN itu antaranya tokoh korporat tempatan, Tan Sri Mohamed Azman Yahya dan Tan Sri Mohd. Hassan Marican.

Juga bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz; bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Abu Bakar Suleiman; pensyarah, Prof. Dr. Jomo Sundram dan peguam, Prof. Datuk Salleh Buang.

Mengulas lanjut, Mahathir sekali lagi menegaskan fungsi MPN tidak bertindih dengan Majlis Pemulihan Negara yang ditubuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan lepas.

“Memang nama majlis saya ini pula secara kebetulan sama dengan yang dia punya, tetapi dari segi keanggotaan adalah tidak sama walaupun mungkin fungsinya nampak macam bertindih.

“Kami hanya menyampaikan saranan kepada Noor Hisham dan dia pula akan memaklumkan kelak kepada pihak kerajaan tetapi sama ada diterima atau ditolak, itu terpulanglah,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu pada masa sama memberi jaminan, hala tuju MPN juga tidak akan bermotifkan politik walaupun empat ahli Parlimen daripada pelbagai parti sebagai ahli panel, sebaliknya hanya mengutarakan pandangan secara tuntas atas kapasiti peribadi sebagai suara akar umbi rakyat dan bukan mewakili pendirian parti masing-masing.

Empat ahli Parlimen itu ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman di samping Ahmad Fahmi Fadzil, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Hannah Yeoh.

Cadangan penubuhan MPN mula dicetuskan Dr. Mahathir ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 10 Jun lalu ekoran kegagalan kerajaan mengurus isu Covid-19, namun cadangan itu ditolak Muhyiddin dan digantikan dengan MPN versi kerajaan disertai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai penyelaras.

“Kami tiada masalah dengan MPN kerajaan, malah bersetuju dengan apa dilakukan namun kecewa kerana pendekatan tidak menyeluruh dan hasilnya, kes melonjak lebih teruk,” katanya.

Beliau pada masa sama turut berpuas hati dengan penjelasan Noor Hisham hari ini, tetapi ada beberapa isu yang perlu ditambah baik dan berharap, pandangan mereka itu diberi perhatian kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN