NFA kes Zahid: Keputusan Jabatan Peguam Negara undang pelbagai soalan - Utusan Malaysia

NFA kes Zahid: Keputusan Jabatan Peguam Negara undang pelbagai soalan

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA) terhadap kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat mempunyai implikasi besar terhadap kebebasan institusi kehakiman, prinsip pengasingan kuasa serta tahap keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan jenayah negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tindakan AGC yang menyatakan keterangan tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan mengundang persoalan sama ada pihak pendakwaan mengakui kesilapan sendiri atau secara tidak langsung menafikan kewajaran keputusan kehakiman.

Menurut beliau, keputusan itu turut menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan Mahkamah Tinggi sebelum ini memerintahkan tertuduh membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

“Jika bukti benar-benar tidak mencukupi, mengapa pendakwaan diteruskan sehingga ke peringkat pembelaan?

“Apakah perubahan material yang berlaku sehingga membawa kepada keputusan NFA?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri bebas daripada 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi.

AGC memutuskan NFA kes melibatkan Ahmad Zahid yang sebelum ini dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2023.

Tambah Jais, ketiadaan pendedahan awam berhubung dapatan baharu yang bersifat substantif dan meyakinkan berisiko mencetuskan persepsi bahawa keputusan tersebut dipengaruhi pertimbangan politik.

Kata beliau, keputusan NFA itu dibuat dalam suasana tekanan politik terbuka termasuk ugutan untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Madani.

Dalam pada itu, Jais berkata, meskipun Perlembagaan Persekutuan memberikan budi bicara kepada Peguam Negara, kuasa tersebut tidak wajar dilaksanakan tanpa ketelusan, kebertanggungjawaban awam serta mekanisme semak dan imbang.

“Apabila kes rasuah berprofil tinggi ditamatkan secara eksekutif, keyakinan rakyat terhadap integriti pendakwaan akan terhakis dan kewibawaan institusi kehakiman turut terjejas,” katanya.

Sehubungan itu, Jais mengemukakan beberapa tuntutan termasuk pendedahan terperinci dapatan baharu yang membezakan keputusan DNAA dan NFA dan penjelasan awam mengapa perkara tersebut tidak dibawa semula ke mahkamah.

Beliau turut menggesa agar Suruhanjaya Bebas Pendakwaan ditubuhkan bagi mengendalikan kes rasuah berprofil tinggi.

“Rasuah berskala besar tidak boleh ditutup dengan alasan prosedur. Keadilan yang dilihat tunduk kepada kuasa politik bukanlah keadilan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×