SHAH ALAM: Kerajaan negeri digesa menghalang dan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur program perkhemahan ‘Glamping with Pride’ kerana mempromosikan aktiviti hubungan sejenis dan LGBTQ yang bertentangan dengan nilai, agama dan moral awam negara ini.
Aktiviti anjuran ‘jejaka.org’ itu dikatakan berlangsung pada 17 hingga 18 Januari ini di sebuah tempat rekreasi di Hulu Langat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, beliau menentang keras penganjuran aktiviti sedemikian yang disifatkan tidak wajar dan bercanggah dengan norma masyarakat Selangor apatah lagi ia hendak diadakan ketika sambutan Israk dan Mikraj pada Sabtu depan.
“Saya tidak berkompromi, penganjuran program seperti itu adalah tidak wajar, tidak sensitif dan bercanggah dengan nilai serta norma masyarakat. Ia jelas menyasarkan komuniti gay dan membawa naratif ‘Pride’ yang mempromosikan identiti seksual serta hubungan songsang ke ruang awam.
“Itu bukan sekadar aktiviti sosial biasa, tetapi satu bentuk normalisasi terbuka terhadap hubungan sejenis, yang jelas bercanggah dengan nilai agama, moral awam dan kerangka perundangan yang diamalkan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tegasnya, kerangka Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, sementara kebebasan bersuara serta berpersatuan bukanlah hak mutlak untuk melanggar kepentingan moral, ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.
Nurul Syazwani yang juga Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN) turut mendesak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menunjukkan pendirian jelas dan tegas terhadap penganjuran aktiviti sedemikian.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan perlu diarah supaya menyemak dengan teliti kelulusan, permit dan kandungan penganjuran serta tidak berkompromi sekiranya terdapat unsur yang bercanggah dengan undang-undang, garis panduan atau sensitiviti masyarakat setempat.
“Kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri atau mengambil sikap lepas tangan dalam isu yang menyentuh nilai moral dan keharmonian sosial rakyat Selangor. Normalisasi hubungan songsang mesti dihentikan,” tegasnya. – UTUSAN










