BALIK PULAU: Usia emas bukan penghalang buat seorang nenek berumur 65 tahun berbasikal mengelilingi kampung untuk menghantar barang keperluan asas kepada penduduk di lima kawasan di Teluk Kumbar di sini yang terjejas dengan pandemik Covid-19.
Noorbi Ahmad atau lebih mesra disapa sebagai Nek Norbi berkata, kesanggupannya menjadi sukarelawan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gemuroh sejak awal tahun ini bagi membantu melancarkan urusan khidmat bantuan dan sosial masyarakat setempat.
Menurut nenek kepada lapan cucu itu, rutin hariannya adalah dengan mengayuh basikal miliknya kira-kira sejauh dua kilometer ke kediaman penduduk yang memerlukan bantuan makanan termasuk terputus bekalan harian.

Lokasi penghantaran barang makanan itu melibatkan kawasan di Kampung Sulup; Kampung Nelayan; Taman Sahabat; kawasan rumah murah dan pekan lama Teluk Kumbar.
“Inilah cara saya berkhidmat kepada masyarakat. Janji hati saya gembira dan puas dapat memudahkan urusan kerja barisan jawatankuasa MPKK terbabit serta membantu penduduk setempat.
“Memang sebelum ini saya aktif berpolitik sejak muda, namun disebabkan umur yang semakin lanjut, saya mengambil keputusan untuk berehat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Nek Norbi, dia tidak pernah merasakan terbeban apabila diminta membantu membawa 15 kilogram beras bersama barangan keperluan makanan lain ke rumah penduduk yang terkesan termasuk warga emas uzur dan golongan orang kurang upaya (OKU).
“Saya akan memastikan barang yang dibawa itu disusun dengan seimbang di dalam raga dan di bahagian tempat duduk belakang.
“Pernah juga saya hampir terbabas di tepi jalan ketika berselisih dengan kenderaan berat, tetapi itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus menghulurkan bantuan,” ujarnya.
Menyingkap kisah kehidupan dahulu, Nek Norbi memberitahu, dia mula berbasikal sejak usia remaja lagi dan basikal yang dimilikinya kini adalah yang ke-15 selepas kebanyakannya telah rosak dan dicuri.
“Bagi saya, memilih menjalani aktiviti berbasikal juga membantu meningkat kecergasan tubuh badan selain dapat menguatkan otot. Ini sebahagian petua yang saya amalkan dari dulu sehingga kini,” tambahnya. – UTUSAN