Aceh tiada niat rendahkan bantuan, sokongan Malaysia - Utusan Malaysia

Aceh tiada niat rendahkan bantuan, sokongan Malaysia

KEADAAN beberapa rumah yang rosak akibat banjir kilat di Aceh Tamiang, Sumatera Udara.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian menyatakan beliau sama sekali tidak berniat merendahkan bantuan dan sokongan yang diberikan oleh rakyat serta kerajaan Malaysia kepada mangsa bencana di Aceh.

Penegasan itu dibuat susulan kenyataan bekas Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Rais Yatim, yang menyatakan kekecewaan terhadap kenyataan yang dianggap mengecilkan peranan bantuan Malaysia.

Karnavian memohon maaf secara terbuka sekiranya kenyataannya menimbulkan salah faham atau persepsi negatif.

“Kenyataan saya mungkin telah disalah faham. Saya sama sekali tidak berniat merendahkan bantuan atau sokongan daripada rakyat Malaysia untuk Aceh.

“Jika terdapat sebarang salah faham, saya memohon maaf,” katanya dipetik agensi ANTARANEWS.

Beliau menjelaskan kenyataan awalnya tidak bermaksud untuk membandingkan atau merendahkan kepentingan bantuan asing, sebaliknya menekankan usaha besar kerajaan Indonesia sendiri dalam menangani bencana, termasuk penghantaran ratusan tan beras, penggunaan helikopter, kapal dan pesawat, serta penyediaan dana segera bagi kawasan yang memerlukan.

Karnavian menegaskan beliau menghargai setiap bantuan daripada luar negara, termasuk Malaysia, dan menekankan sumbangan pegawai kerajaan, sukarelawan serta penderma tempatan tidak seharusnya dipandang ringan.

Beliau turut menyatakan komitmen Indonesia untuk mengekalkan hubungan baik dengan Malaysia, dengan bantuan kemanusiaan dari Malaysia untuk Aceh dianggarkan bernilai sekitar AS$58,000 (RM235,699).

Karnavian menekankan hubungan baik yang telah terjalin lama antara Indonesia dan Malaysia, termasuk ketika insiden letupan bom Bali dan sewaktu beliau menjawat jawatan Ketua Polis Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×