PORT DICKSON: Bagi memberikan nafas baharu kepada Pantai Telok Kemang di sini selain menambah keselesaan kepada pengunjung, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) kini menaik taraf beberapa kemudahan termasuk gerai di pantai tersebut.
Yang Dipertua MPPD, Zamri Mohd. Esa berkata, kerja-kerja naik taraf tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini selepas ia dimulakan pada awal bulan ini.
“Kerja-kerja naik taraf ini dilakukan selepas beberapa kemudahan ini sudah rosak dan ada yang lama tidak dibaiki.
“Sepatutnya projek ini dimulakan pada Mei lalu namun kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan jadi ia tidak dapat dilaksanakan dan kini, mula dilaksanakan dan berharap siap sepenuhnya Oktober ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pantai Telok Kemang, di sini semalam.
Menurut Zamri, peruntukan projek naik taraf tersebut diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berjumlah RM456,970.
“Kerja-kerja menaik taraf ini melibatkan penggantian bumbung, menggantikan dinding papan kepada dinding batu-bata.
“Selain itu, kami turut menaik taraf pendawaian semula kabel elektrik di gerai-gerai yang rosak, memasang lampu di ruang makan bagi gerai makanan dan minuman serta kerja-kerja mengecat,” katanya.
Sementara itu kata beliau, MPPD bersedia untuk menerima kedatangan pengunjung bagi aktiviti pelancongan apabila Negeri Sembilan dapat beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pihak kami sudah bersedia dan kami juga sedang berbincang bersama-sama dengan pemain industri pelancongan bagi melihat prosedur apabila sektor ini dibuka. Kami tidak mahu sekiranya dibuka baru mahu kaji dan sebagainya,” katanya.










